Penulis percaya, jalan kehidupan semua orang telah ditentukan olehNya. Walaupun berlainan haluan, semua orang diberikan peluang untuk mengejar kejayaan.
Begitu jugalah pendapat yang dilontarkan oleh penyanyi remaja, Aiman Tino yang terlebih dahulu bergiat aktif dalam karier nyanyian sebelum menyambung pelajaran.
Katanya kepada rakan media di Sinar Harian, “Saya memang nak sambung belajar dari dulu lagi, cuma sebelum ini kerjaya baru nak bermula. Saya pun sibuk dengan aktiviti dan rutin setiap hari.
“Alhamdulillah, sekarang semuanya lebih stabil. Mungkin ini waktu terbaik untuk saya ambil peluang sambung belajar. InsyaAllah, saya akan sambung belajar dalam jurusan perniagaan di sebuah kolej di Shah Alam bermula tahun ini.”
Haa, elok juga ambil jurusan tersebut memandangkan Aiman memang aktif melancarkan beberapa projek perniagaan. Antara termasuklah pakaian sekolah, makanan kesihatan dan terbaru, produk minuman Jus Mano yang mula dipasarkan 8 April ini.
Artikel Berkaitan: Aiman Tino Artis Pertama Keluarkan Baju Sekolah
Berbalik kepada soal pelajaran di kalangan selebriti, Aiman mengakui akan kepentingan untuk menyambung pelajaran. Namun itu tidak bermakna seorang selebriti perlu menidakkan peluang kerja jika mereka yakin dengan laluan karier mereka pada usia muda.
“Saya akui, SPM memang penting terutamanya jika nak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Tapi, ia bukanlah kayu pengukur kejayaan seseorang.
“Saya sendiri melihat beberapa contoh depan mata, di mana kawan saya yang tak mempunyai sijil SPM namun berjaya dalam kehidupan masing-masing.
“Bagi saya, apa yang penting di sini adalah usaha dan sama ada kita rajin atau tidak untuk menjadi orang yang lebih baik dan berjaya.”
Isu SPM agak hangat diperkatakan pada minggu ini selepas seorang lagi penyanyi remaja, Ismail Izzani mengeluarkan kenyataan dia tidak akan menduduki SPM. Ismail yang mengikuti program belajar dari rumah (homeschool) sebaliknya ingin melanjutkan pelajaran di kolej swasta.
Demi memasuki kolej tanpa sijil SPM, Ismail perlu menduduki satu peperiksaan awal
Korang setuju tak dengan pendapat Aiman Tino dan perancangan Ismail Izzani ini?