“Ameera Cuba Jauhkan Diri Daripada Sha,” Athisha Khan Kongsi Detik Sebelum Berkahwin

Share

Baru-baru ini Remaja berkesempatan membuat sesi live bersama pengantin baharu, Athiska Khan di laman instagram @majalahremaja. Selama lebih kurang 30 minit, kami berpeluang bertanyakan beberapa soalan berkaitan kehidupannya kini selepas bergelar isteri dan tidak ketinggalan Athisha turut berkongsi perancangannya untuk tahun 2022.

BACA: Athisha Khan Bergelar Tunangan Orang Dalam Majlis Ringkas, Bakal Bernikah Tidak Lama Lagi

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sebenarnya pempengaruh yang juga merupakan kepada adik selebriti terkenal Neelofa ini sebenarnya telah melangsungkan majlis merisik dan pertunangan pada 26 Disember lalu. Namun, Athisha hanya memuat naik foto majlisnya itu beberapa hari sebelum tarikh akad nikah.

 “Sebenarnya sebelum itu lagi Sha sudah memberi beberapa hint yang sepertinya ingin memberitahu bahawa Sha bakal mendirikan rumah tangga. Perancangan awal kami ingin melangsungkan pernikahan pada Ogos tahun lalu tetapi disebabkan kes COVID-19 masih membimbangkan, jadi Sha mengambil keputusan untuk menundakan majlis,”

“Alhamdulillah selepas lebih kurang setahun membuat persiapan, daripada perkahwinan Kak Lofa lagi Sha sudah mula bertanyakan hal-hal seperti baju pengantin, rekaan pelamin dan akhirnya kami selamat diijab kabul pada awal bulan lalu. Sha rasa bersyukur sangat kerana dapat menyambut hari bahagian ini bersama orang-orang tersayang,” jelasnya.

Instagram: @athishakhan

Athisha turut berkongsi momen bersama keluarganya apabila mengetahui keputusannya untuk berkahwin, lebih-lebih lagi Ameera yang merupakan adik-beradik yang paling rapat dengannya.

“Sha antara yang termuda dalam keluarga. Jadi, bila Sha ambil keputusan untuk berkahwin rasanya semua boleh merasakan bahawa adik mereka ini sudah besar dan Ameera antara yang paling rapat dengan Sha, jadi dekat rumah sekarang hanya tinggal dia dan Faliq,”

“Sebelum ini ada saya, Ameera dan Faliq, selalunya tengah-tengah malam kami akan turun makan maggie bersama dan kebanyakan masa yang diluangkan bersama-sama adalah ketika waktu malam. Jadi, masa Sha dah nak kahwin dalam beberapa minggu sebelum, tiba-tiba Ameera seperti menjauhkan diri,”

“Sha perasan saja, mungkin dia sedang bersedia untuk menerima kenyataan kerana rutin Sha akan berubah selepas berumah tangga nanti. Tak tahulah kalau cakap pasal Ameera ni Sha macam emosional sikit sebab dia yang tolong Sha dari A sampai Z untuk majlis perkahwinan ini bagi memastikan hari bahagian Sha berlangsung dengan baik,”

Berbicara tentang kerjayanya sebagai selebriti media sosial, Athisha turut menjelaskan bahawa dia akan meneruskan untuk membuat vlog di laman YouTube dan meneruskan perniagaan @akbyathishakhan. Untuk tahun ini, ada beberapa perancangan yang telah difikirkan dan jika tidak ada aral melintang, dia bakal meluaskan lagi perniagaannya itu.

“Untuk tahun ini sebenarnya Sha sudah ada beberapa perancangan dan antaranya untuk mengeluarkan jenama pakaian sendiri. Dan insyaAllah kami ingin membuat wedding journal bagi bakal-bakal pengantin yang akan melangsungkan perkahwinan pada tahun ini. Ia adalah palnner yang Sha gunakan untuk merancang perkahwinan dan ia akan dilengkapi segala perkara yang korang perlukan untuk majlis perkahwinan nanti,” tambahnya lagi.

Kami di Remaja sekali lagi ingin mengucapkan tahniah dan selamat pengantin baru buat Athisha dan Haiqal, semoga setiap perancangan korang berjalan lancar dan dapat melayari bahtera rumah tangga bahagia hingga ke jannah.

**

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja

untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Published by
Noor Ain Norman