Tinggal beberapa jam saja lagi sebelum kita melangkah masuk ke tahun 2018.
Di sebalik kemeriahan yang dijangka bakal berlaku pada malam ini apabila rakyat Malaysia rata-rata akan menyambut kedatangan tahun baru, terdapat dua buah tempat berbeza yang akan mula ‘ditutup’ bermula hari esok. Dalam erti kata lain, malam ini akan menjadi malam terakhir dua buah tempat ini beroperasi.
Empat dekad bukanlah satu tempoh yang singkat. Kita semua pun belum lahir lagi pada waktu tersebut.
Namun, itu tidak menghentikan keputusan untuk menghentikan operasi Ampang Park yang terletak di Jalan Ampang Kuala Lumpur.
Kompleks beli-belah tertua di negara itu akan ditutup bermula esok bagi memberi jalan kepada projek pembangunan infrastruktur Kuala Lumpur baru. Dan tentunya, selain daripada pengunjung tetap, kelompok yang paling terkesan dengan penutupan tersebut adalah pengusaha dan peniaga di sana.
Mana tidaknya, sejak ia dibuka pada 15 Max 1973, Ampang Park telah menjadi ‘rumah’ kepada lebih 250 buah lot premis dengan menjual segala keperluan rakyat di Kuala Lumpur.
Antara peniaga paling lama di situ ialah Binwani’s yang menyediakan servis tekstil. Kedudukannya di Ampang Park sejak tahun 1973 lagi adalah antara fator utama mengapa Binwani’s menjadi popular di kalangan masyarakat Kuala Lumpur.
Sekarang memanglah nampak seperti Ampang Park tidak lagi relevan di kalangan remaja disebabkan berpuluh-puluh kompleks membeli-belah baru yang telah dibina. Tetapi cuba bayangkan situasi berbeza pada zaman 70-an dan 80-an.
Sebut je Ampang Park, semua remaja pada waktu itu dah membayangkan macam nak pergi Pavilion. REMAJA pasti ramai yang akan berkumpul untuk menyaksikan detik bangunan itu diruntuhkan nanti kerana rasa nostalgik.
Berbeza pula dengan mood yang dirasakan oleh penduduk Lembah Klang terutamanya yang menetap di Shah Alam dan Klang apabila berita pemansuhan dua buah tol utama di kawasan ini akan dilakukan bermula esok.
Pemansuhan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau telah diumumkan oleh kerajaan pusat dalam Pembentangan Bajet 2018 pada bulan Oktober lalu. Setelah mendengar komen netizen di media sosial, rata-rata merasakan ia adalah satu langkah tepat bagi mengurangkan beban rakyat yang kini berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi.
REMAJA sendiri percaya dengan pemansuhan ini, ia akan membawa perubahan kepada kos perjalanan pengguna tetap Lebuhraya Persekutuan yang secara peribadinya, telah dibina sejak – like forever – dan seharusnya, ia menjadi laluan utama yang tidak membebankan pengguna di Lembah Klang.
Kurang sikit beban ‘RM2.20’ untuk perjalanan pergi balik. Mungkin selain daripada Putrajaya dan Kuala Lumpur, kita boleh celebrate tahun baru malam ini di Plaza Tol Batu Tiga?