Tiada apa yang lebih menyedihkan apabila kehilangan insan disayangi. Inilah yang dirasai oleh seorang ibu apabila mendapati anak sulungnya, Che Wan Muhammad Akmal Ikbar, 16 tahun sudah terbujur kaku di tepi jalan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di kilometer 23.5 Jalan Paka-Ambs, Dungun.
Dia yang bergegas ke lokasi kemalangan sebaik mendapat berita itu tidak dapat menahan esak tangis dan terus meraung tatkala menyaksikan wajah anaknya sudah ditutupi kain putih.
“Anak aku dah mati… Abang, bakpe mu tinggal ummi?” raung Nor Hanisah Mat Isa, 34 berkali-kali tanpa mempedulikan pandangan mata orang ramai yang turut bersimpati melihat keadaannya.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang, mangsa, pelajar tingkatan empat, Che Wan Muhammad Akmal Ikbar Che Wan Mohd Rosli, maut di tempat kejadian apabila motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra.
Sewaktu kejadian mangsa yang beralamat dari Lot PPRT, Taman Hadhari, Kampung Cacar, Paka dalam perjalanan dari Paka menuju ke Hutan Lipur Chemerong, Hulu Dungun.
Bagaimanapun, hasratnya bersama rakan-rakan yang ketika itu sedang berkonvoi untuk berkelah di pusat rekreasi tersebut tidak kesampaian apabila motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan.
Nor Hanisah berkata, dia sudah menghalang hasrat anaknya untuk pergi berkelah tetapi tidak diendahkan. Motosikal ditunggang mangsa tersepit di celah kiri MPV.Menurutnya, dia terus bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan anaknya terlibat dalam kemalangan.
“Dia dengan rakan-rakan dan bapa saudaranya naik motor beramai-ramai untuk pergi mandi-manda. Saya sudah larang supaya tidak pergi tetapi dia tetap nak pergi juga. Semalam dah pergi, hari ini nak pergi lagi,” katanya dalam keadaan sebak.
Remaja berkenaan meninggal dunia sebaik sahaja motosikal ditunggang bertembung kereta menyebabkan motosikal tersepit di celah kiri kereta. Akibat rempuhan kuat, mangsa yang tersembam di bahagian hadapan cermin kereta tercampak dan meninggal dunia akibat kecederaan serius.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan punca sebenar kemalangan masih disiasat. Mayat pelajar tingkatan empat itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat.
Sumber :- SINAR HARIAN