“Anak-Anak Diejek & Dipanggil KERBAU, Akhirnya Gambar Ini Dinobat 20 Terbaik Dunia 2018 Di Itali

Share

Sejak semalam viral di media sosial gambar seorang remaja dilihat begitu seronok bermain dengan lebih 100 ekor kerbau. Aksinya yang bersahaja, emosi yang dilihat akrab dengan binatang peliharaannya selain mengingatkan orang tentang suasana indah di desa membuatkan gambar tersebut menjadi viral.

Jika remaja seusianya lebih senang bermain dengan gadjet  tetapi melihat betapa akrabnya remaja berkenaan dengan kerbau-kerbau peliharaan ayahnya membuatkan ramai kagum.

Gambar ini memenangi tempat pertama dalam pertandingan  Asia Geographic -Image of Asia Photography Award 2018 dan dinobatkan 20 gambar terbaik dunia dalam Pertandingan Fotografi Antarabangsa berprestij, Siena International Photo Awards 2018.

Ditambah moment, view dan teknik fotografi yang menyentuh emosi, tak hairanlah gambar Syukor Khamis, pelajar tingkatan dua dari SMK Padang Midin, Kuala Terengganu hasil bidikan jurugambar profesional, Mohd Nazri Sulaiman, 45 memenangi tempat pertama dalam pertandingan  Asia Geographic -Image of Asia Photography Award 2018 yang mana gambar adik Syukor telah terpilih menjadi pemenang gambar terbaik untuk kategori ‘Street/People’.

Bidikan gambar yang sama, jurugambarnya telah menghantar gambar tersebut ke anugerah fotografi antarabangsa berprestij, Siena International Photo Awards dan ternyata sekali lagi gambar menyentuh emosi ini diangkat sebagai 20 gambar terbaik dunia. Wow! Kagum sangat-sangatkan.

Syukor dilihat begitu akrab dan manja dengan kerbau-kerbau peliharaan ayahnya
Kemesraan dan keakraban Syukor dengan kerbau dan remaja ini dilihat begitu bergembira menikmati hari-harinya

REMAJA sempat menghubungi Pak Khamis Jusoh, 63, ayah kepada Syukor sebentar tadi. Niat REMAJA ini berbual dengan Syukor terbantut kerana Syukor agak “sibuk” dengan fotografi melibatkan sekumpulan jurugambar dari RTM yang melakukan sesi temuramah.

“Sejak semalam, memang sibuk sibuk. Ramai orang nak ambil gambar Syukor,” kata bapanya yang begitu ramah.

Mesti korang tertanya-tanya di mana boleh ambil gambar inikan. Lokasinya di Kampung Banggol Katong Serada, Kuala Terengganu. Kalau dari Kuala Terengganu jaraknya dalam 20 minit sahaja dan sudah boleh bertemu rumah Pak Khamis. Berlatar belakangkan paya dan padang rumput menghijau, pasti peminat fotografi menggilai lokasi ini di masa akan datang.

Indahnya moment gambar inikan. Memang terbaiklah

Kata Pak Khamis, dia mewarisi kerbau-kerbau lebih 100 ekor ini dari ayahnya dan ia adalah sumber pendapatan keluarga. Syukor juga menunjukkan minat yang sama sejak kecil dan paling rapat dengan kerbau nama Awang yang sudah mati. Sehabis sekolah, Syukor akan ke paya untuk bersama kerbau-kerbau ini dan tak hairanlah hubungannya dengan binatang ini begitu akrab.

Tapi bukan saja kerbau yang ada, angsa, kambing, lembu dan sebagainya juga dipelihara oleh Pak Khamis. Paling best, mana-mana individu yang nak menginap di rumah Pak Khamis, ada bilik di sediakan dengan harga cukup rendah, RM30 sahaja. Mainlah dengan kerbaunya sepuas-puasnya. Tapi syaratnya mesti ada Pak Khamis la ya sebab takut juga kalau terkena tandukan kerbau yang tak biasa melihat bukan tuannya.

Ditanya bagaimana perasaannya selepas gambar anaknya yang dilihat begitu menyentuh emosi, malah kerbau itu juga seakan sama “moodnya”  dinobat 20 terbaik dunia dalam pertandingan berprestij di Itali selain memenangi peringkat pertama Asia, kata Pak Khamis dia tidak menyangka dan mengucapkan rasa syukurnya kepada jurugambar Nazri yang mengambil gambar tersebut. Malah dia juga bersyukur kerana semakin ramai yang datang ke tempatnya sekaligus menjadi rezeki buatnya sekeluarga.

Tak perlu fikir tentang gadjet pun, main dengan kerbau dan alam pasti lebih seronok. Bila la remaja bandar nak menikmati momen begini?

“Saya tak letak harga pun untuk tangkap gambar dengan kerbau ni. Orang sedekah ikut mereka. Berapa mereka bagi saya terima kerana itulah rezeki kami,’ katanya lagi.

Di sebalik menyara anak lapan orang dengan menjual binatang ternakan, kata Pak Khamis, anak-anaknya selalu diejek dengan panggilan kerbau di sekolah.

“Pernah sampai pihak sekolah panggil rakan yang mengejek kerana anak berasa malu dengan ejekan itu. Ada anak perempuan saya, namanya Ain tapi kawan-kawannya panggil dia Ain Kerbau. Bukan dia saja tapi abang-abangnya sama, mesti ada panggilan di belakang itu.

“Tapi saya percaya selepas kemenangan gambar ini, ejekan-ejekan itu akan hilang,” katanya begitu ramah.

Ada sapa-sapa bran nak berlaga kepala dengan kambing nie? Tengoklah betapa hebatnya gambar Syukor dengan binatang peliharaan ayahnya

REMAJA juga sempat menghubungi jurugambar profesional Mohd Nazri Sulaiman yang membidik gambar penuh emosi ini.

Kata Nazri yang sering memenangi anugerah gambar peringkat dunia dan banyak pertandingan lagi sejak 2006, gambar Syukor yang begitu menyentuh emosi itu adalah secara spontan.

“Bila kita libatkan binatang dalam fotografi, kita bukan boleh suruh-suruh. Kena standby shoot terbaik. Saya hanya suruh Syukor duduk, berdiri dan sebagainya. Masa moment gambar itu diambil, ianya berlaku spontan.

“Syukor duduk dan secara tiba-tiba kerbau itu datang baringkan mukanya ke peha Syukor dalam situasi seolah-olah semuanya beremosi sedih. Masa yang sama, kerbau-kerbau lain datang berasak-asak seolah-olah bertanya “apa yang disedihkan itu” dan seperti mereka mahu menolong. Itulah momentnya ketika gambar itu dibidik,’ katanya berkata, ada tiga lagi moment Syukor bersama kerbaunya berjaya memenangi hadiah peringkat Asia dan dunia (selain gambar yang menang).

Kata Nazri lagi, dia biasa mengambil gambar di serata dunia namun melihat keakraban seorang remaja lelaki dengan 100 ekor kerbau adalah luar biasa kerana “mereka” bagaikan memahami peribadi dan aksi masing-masing.

Dalam pada itu Nazri berkata, dia mahu menonjolkan satu lagi produk pelancongan buat negeri Terengganu yang hanya ada keropok lekor, batik, pantai dan lain lagi sebelum ini.

“Lokasi ini boleh jadi ikon pelancongan terbaru negeri Terengganu,” katanya ketika dihubungi.

 

 

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros