Selebriti dan supermodel, Heidi Klum menggambarkan betapa bangganya dia terhadap Leni Klum, 17 semasa menonton anak daranya itu berjalan di pentas pragaan Dolce & Gabbana baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN : Model Dolce & Gabbana Dipuji ‘Pro’ Berjalan Semasa HUJAN BATU Turun! – REMAJA
Heidi yang berada di barisan hadapan jemputan pertunjuan fesyen tersebut tidak dapat menyembunyikan senyuman bangga ketika Leni berjalan dalam satin corset dress biru terang lengkap dengan tiara gemstone dan rantai ‘statement’; ibarat puteri raja di kota Venice. Mata Leni juga sempat mengintai ke arah ibunya beberapa kali dengan senyuman sebelum kembali fokus dengan pose penuh yakin persis Heidi sewaktu zaman kegemilangannya pada era 90-an.
Menerusi akaun media sosialnya, Heidi turut berkongsi beberapa foto dan video daripada acara tersebut dengan kapsyen “Proud Mom”.
Leni sebenarnya telah mula berkecimpung dalam bidang peragaan untuk tempoh setahun dan telahpun berpeluang menjadi ‘covergirl’ bagi beberapa majalah fesyen antarabangsa. Ini termasuklah Vogue Germany (bersama Heidi) dan Glamour Germany.
Sebagai ibu, Heidi sendiri telah membantu membentuk Leni menjadi seorang model muda yang berjaya. Sebagai contoh, Heidi telah mendapatkan jurulatih tarian ‘Dance Moms’ popular, Abby Lee untuk mempersiapkan Leni sebelum acara Dolce & Gabbana tersebut.
*
Kemunculan generasi model baharu yang juga merupakan anak dara kepada supermodel terdahulu bukan lagi satu perkara pelik. Ini kerana beberapa supermodel lain turut merestui anak masing-masing untuk berkecimpung dalam bidang yang menjadikan mereka popular ini.
Cindy Crawford ialah antara ‘ibu model’ paling awal yang menyokong anaknya bagi meneruskan legasi. Cindy boleh berbangga dengan pencapaian hebat Kaia Gerber yang baru menyambut hari kelahiran ke-20.
Kaia bukan sekadar seorang model yang menempatkan dirinya dalam industri fesyen disebabkan pengaruh ibunya. Dia bekerja keras memperbaiki skil selaku model muda sehingga diberi kepercayaan menjadi salah seorang penghias wajah hadapan majalah Vogue edisi September Issue tahun ini.
Turut membanggakan ibunya ialah Lily Rose Depp yang merupakan anak kepada model Perancis, Vanessa Paradis (kemudiannya bergelar pelakon dan penyanyi popular).
Pada awalnya, Lily Rose berdepan dengan pengkritik yang merasakan dia hanya diberikan peluang dalam bidang fesyen disebabkan nama ibu dan ayahnya, Johhny Depp. Tambahan pula, Lily Rose tidaklah setinggi model lain pada ketinggian 160sm saja. Namun perlahan-lahan, model pilihan Chanel ini mula diterima pemerhati fesyen.
Isu yang sama juga dihadapi oleh Lila Grace Moss yang merupakan anak dara kepada supermodel 90-an, Kate Moss. Sejak berjalan untuk pertunjukan fesyen pertamanya bagi jenama Miu Miu pada Oktober tahun lalu, lebih banyak jenama lain seperti Fendi yang mula memberikan peluang kepada Lila Grace.
Seperti Kate, dia juga mempunyai stail tersendiri dan boleh dianggap sebagai salah seorang ‘fashion influencer’ muda paling diminati sekarang. But yes, she needs to work on her walk.
Sekiranya korang merasakan Lily Rose Depp dan Lila Grace Moss masih terlalu dan sedang bertatih dalam dunia fesyen, anak supermodel yang seorang ini mungkin akan lebih diminati korang disebabkan keupayaannya untuk – well, model.
Lily McMenamy, 27 merupakan anak dara kepada supermodel 90-an, Kristen McMenamy yang mula mengorak kerjaya sebagai seorang model pada usia 18 tahun BUKAN disebabkan oleh ibunya tetapi atas pelawaan rakan sendiri.
Model, Morgane Dubled mengajak Lily yang baru berpindah ke Paris sebagai seorang pelayan restoran untuk mencuba bidang peragaan. Dari situ, kerjayanya telah jauh berkembang apabila berpeluang berjalan di pentas peragaan Yves Saint Laurent, Chanel, Marc Jacobs, Louis Vuitton dan pelbagai jenama lain.
Tentunya, nama Lily masih terpalit dengan pengaruh ibunya, Kristen. Namun model ini lebih selesa membina kerjayanya hasil titik peluh sendiri.
ARTIKEL BERKAITAN : Ketua Pereka ZARA Keluar Kenyataan Anti-Palestin, Model Ini & Warganet Ajak Boikot – REMAJA
BACA LAGI : 8 Bulan Lepas Lahirkan Anak, Gigi Hadid Kembali Dengan ‘Badan Model’! Rahsianya.. – REMAJA