Hati ayah mana yang tidak luluh apabila anaknya meninggal dunia. Namun qada dan qadar tuhan sudah ditentukan.
Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-bakri sebentar tadi mengumumkan pemergian anakandanya, Hammad bin Zulkifli menerusi hantaran di saluran media sosial
nya.“Dengan penuh reda dan sabar, saya maklumkan pemergian anakanda Hammad bin Zulkifli pada jam 5.22 pagi tadi. Duhai anakandaku Hammad, air mata deras mengalir menyaksikan sendiri Hammad menghembuskan nafas terakhir di sisi Abah. Abah sekeluarga sejujurnya amat sedih atas perpisahan ini,” tulisnya.
Selain itu, beliau turut memanjatkan rasa terima kasih kepada mereka yang banyak membantu memudahkan urusannya sekeluarga.
“Jutaan terima kasih kepada semua yang banyak membantu kami menguruskan Hammad dari awal, sehinggalah ke liang lahad. Bagi pihak keluarga, saya memohon maaf sekiranya ada salah dan silap di pihak anakanda saya, Hammad,” tulisnya lagi.
Jenazah Hammad akan disembahyangkan pada jam 9.45 pagi ini di Pusat Islam Universiti Sains Islam Malaysia.
Hammad yang dilahirkan pada 10 Oktober 2000 merupakan anak lelaki dari perkongsian hidup Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri bersama isterinya, Datin Dr. Sheereen binti Mohd Yunos.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.