Anak Jati Orang Ulu Ditawar Ke Universiti Oxford, Mahu Beri Inspirasi Kepada Pelajar Lain

Share

Bukan mudah untuk melayakkan diri ke Universiti Oxford yang merupakan universiti terbaik di Eropah dan yang kedua di dunia. Individu yang diterimanya mestilah memiliki kelebihan dan juga karisma dalam pendidikan yang mampu menyumbang semula kepada masyarakat.

Foto Kredit : Via Astro Awani

Dimana ada kemahuan disitu ada jalan. Tahniah Remaja ucapkan kepada pelajar cemerlang kelahiran Baram, Sarawak, Chris Deng Vinsien melakar sejarah apabila ditawarkan ke Universiti Oxford di United Kingdom (UK).

Untuk pengetahuan anda, selain sentiasa merekodkan keputusan cemerlang dalam bidang akademik, Chris juga aktif dalam aktiviti kokurikulum seperti debat dan muzik.

“Berkenaan dengan persediaan menuju ke universiti tersebut, saya telah melakukan kajian berkaitan undang-undang menerusi UCAS Lab, yang mana saya membantu memberi panduan buat pelajar dalam proses permohonan mereka ke universiti di serata UK,” katanya
Seperti yang dilaporkan sumber, Chris melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mukah dan menamatkan pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM, Lembah Beringin, Selangor.
“Saya telah memasang impian untuk membantu orang-orang Sarawak. Saya percaya pencapaian ini didorong oleh orang-orang tua saya.
“Saya ingin memberi inspirasi kepada pelajar terutamanya di Sarawak bahawa latar belakang bukan batu penghalang untuk kita mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa. Semuanya boleh direalisasikan jika anda melakukan sesuatu sepenuh hati,” ceritanya lagi.
Ujarnya lagi, dia berdepan dengan cabaran menangani situasi pandemik COVID-19 yang menjejaskan pembelajarannya dan sebelum ini, berdepan dengan kekurangan pendedahan untuk menyambung pengajian di luar negara.
“Saya pernah berdepan dengan cabaran seperti kurangnya pendedahan terhadap biasiswa pengajian di luar negara dan pencapaian cemerlang dalam akademik adalah bukan sesuatu perkara yang lazim dalam komuniti saya.
“Jadi saya berfikir untuk pergi ke luar negara itu adalah sesuatu yang mustahil,” katanya.
Namun, pemikiran itu ditepis dengan usaha keras yang ternyata berbaloi buat dirinya dan keluarga.
Selain diterima ke Universiti Oxford, kongsi Chris, dia turut ditawarkan tempat di London School of Economics (LSE) dan King’s College di London.
Moga lebih ramai anak muda Malaysia yang menjadikan kejayaan Chris Deng Vinsien ini sebagai inspirasi buat mereka lebih berjaya mengejar cita-cita.
Sumber : Astro Awani
Published by
Nana