Hati mana yang tidak sedih apabila kehilangan orang tersayang, apatah lagi kelahirannya sangat dinantikan sebagai penyeri keluarga. Christiano Ronaldo dan kekasihnya, Georgina Rodriguez telah mengumumkan pagi ini (waktu Malaysia) bahawa bayi lelaki mereka yang baru dilahirkan telah meninggal dunia.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi sebuah kenyataan yang disiarkan secara bersama di laman Instagram mereka.
“Dengan rasa sedih kami yang paling dalam, kami perlu mengumumkan bahawa bayi lelaki kami telah meninggal dunia. Ia adalah kesakitan paling dalam yang boleh dirasai oleh mana-mana ibu bapa,” ujar pasangan ini.
Umum mengetahui yang sebelum ini mereka pernah mengumumkan yang mereka bakal menimang cahaya mata kembar. Walaupun kehilangan anak lelaki, pasangan ini berkongsi yang mereka sangat bersyukur kerana kembar perempuannya selamat.
Kongsi mereka, “Kelahiran bayi perempuan kami memberi kami kekuatan untuk menjalani detik ini dengan sedikit harapan dan kebahagiaan. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada doktor dan jururawat atas semua penjagaan dan sokongan pakar yang diberikan mereka.”
Seperti mana ibu bapa yang kehilangan cahaya mata, pasangan ini meminta semua pihak menghormati waktu sukar mereka dan memohon privasi. “Kami semua kecewa dengan kehilangan ini dan kami memohon privasi pada masa yang sangat sukar ini,” ujar mereka lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Cristiano Ronaldo Kembali Ke Old Trafford Selepas 12 Tahun
Sebelum kalahiran bayi kembar ini, Pemain bola sepak Manchester United ini sudah pun memiliki empat orang anak. Christiano Jr dilahirkan pada Jun 2010, manakala pada Jun 2017 dia menimang dua lagi cahaya mata Eva dan Mateo yang dilahirkan secara kaedah ibu tumpang.
Kemudian hasil perkongsian hidupnya bersama Georgina Rodriguez, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Alana Martina yang dilahirkan pada November 2017 sebelum kelahiran kembar lelaki dan perempuan pada 18 April 2022.
Menerusi perkongsian di laman Instagram sebelum ini, jejaka berusia 37 tahun ini terkenal dengan sikap penyayangnya sebagai seorang bapa. Dia dilihat bahagia dalam keluarga besar dan sentiasa meluangkan masa bersama anak-anaknya pada waktu terluang.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber & Kredit foto: Instagram Christiano Ronaldo