Anak Lelaki Patut Lebihkan Siapa Selepas Kahwin, Mak Atau Isteri?

Share

Alam rumahtangga merupakan satu ujian untuk suami dan isteri. Ada ketika pasangan diuji dengan kebahagiaan tetapi ada juga diuji dengan pergaduhan sehingga membawa kepada perceraian. Tidak mengira usia, tua atau muda, ada ketika rumahtangga yang dibina terhenti di tengah jalan.

Persidangan Dewan Negara baru ini turut merekodkan kadar perceraian tertinggi sebanyak 8,794 kes cerai bagi pasangan Islam bagi tahun 2017 diikuti Johor sebanyak 4441 seperti di maklumkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh. Malah dikatakan ramai pasangan muda di bawah usia lima tahun perkahwinan berakhir dengan perceraian atas alasan tidak persefahaman.

Malah di media sosial  juga kecoh pernah dengan isu perceraian pelakon Fizo Omar dan bekas isteri, Mawar di mana dalam satu kenyataan Mawar memaklumkan, Fizo sebagai anak yang baik kepada keluarganya sekaligus menimbulkan spekulasi netizen bahawa perceraian antara pasangan ini berkaitan dengan keluarga

Tanggungjawab anak lelaki terhadap isteri dan mak harus seiring dan lelaki harus bijak membuat keputusan – Ustaz Shahril

REMAJA menemuramah Naqib Masjid Al Khadijiah, Pantai Dalam Ustaz Shahril  bin Abd Samad mengenai isu patut lebihkan siapa selepas kahwin, mak atau isteri?

Menurut Ustaz Shahril, tanggungjawab kepada isteri adalah sama pentingnya dengan tanggungjawab kepada ibu yang melahirkan.

“Anak lelaki besar tanggungjawabnya. Sekali pun sudah berumahtangga, menjadi kewajipan kepada anak lelaki untuk tidak mengabaikan ibu yang melahirkan, menjaga dan membesarkan mereka.

“Isteri juga penting tetapi seorang anak lelaki tidak boleh terlalu mengikut telunjuk isteri sehingga menjadi dayus. Lelaki harus menjadi pembuat keputusan yang adil dan tepat. Malah dalam bab memberi duit pun, kalau beri pada isteri, berilah juga pada mak. Dalam memberi ceramah, saya selalu berkata, jangan beri jumlah yang sama kepada kedua-duanya kerana keperluan berbeza-beza. Kalau bagi isteri RM500, mak mungkin lebih atau kurang dari jumlah itu. Tergantung kepada keperluan yang penting,” katanya mengakui anak lelaki perlu bijak membuat keputusan.

Anak lelaki harus bijak membuat keputusan dalam rumahtangga dan bukan jadi lelaki dayus yang mengikut kata isteri. Gambar hiasan

Mana lebih urgent, kalau dua-dua minta tolong serentak? Menurut Ustaz Shahril, pertolongan ini juga perlu dilihat kepada betapa pentingnya situasi keadaan pada masa permintaan itu dilakukan.

“Saya ambil contoh, isteri suruh ambil anak di sekolah sebab sibuk mesyuarat tapi masa yang sama, mak pula minta hantar ke hospital kerana keadaannya agak kritikal. Dalam ajaran Islam, kita wajib mendahuluikan mak yang membesarkan kita kerana keadaannya berkaitan nyawa manakala anak kita boleh tunggu seketika. Di sini, anak lelaki harus berperanan dan tahu membezakan mana yang lebih penting.

Jangan jadi lelaki dayus? Jelas Ustaz Shahril, selain perlu bijak membuat keputusan kerana amanah dari Allah ini, suami juga tidak seharusnya tunduk dengan desakan isteri atas alasan sayang dan mengenepikan emaknya begitu sahaja.

“Ada kes begini. Begitu ikut telunjuk isteri dan isteri control rumahtangga. Isteri kena ingat, tanpa mak yang melahirkan suaminya, tak mungkin jodoh mereka tertulis di sini. Di sinilah hak sebagai mak perlu dijaga.Ini termasuklah anak lelaki dituntut berbuat baik seperti tidak  meninggikan suara di hadapan mereka sesuai dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-isra ayat 23 : “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah kamu berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah kamu menengking (menyergah) mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

“Rasulullah SAW bersabda anak-anak wajib membantu kedua ibu bapa dari sudut kemampuan setakat yang mampu, taat kepada mereka dan tidak sesekali menderhakai mereka. Malah selepas ibu bapa meninggal dunia, tanggungjawab anak-anak masih tidak lepas iaitu perlu  tunaikan hutang-hutang yang wajib iaitu hutang dengan Allah SWT seperti puasa, haji, nazar dan sebagainya.

“Langsaikan hutang-hutang ibu bapa yang telah pergi kepada manusia setakat yang mampu. Anak-anak juga disarankan sentiasa berdoa kepada mereka. Ini kerana, doa seorang anak yang soleh kepada ibubapanya yang telah pergi merupakan amalan yang tidak terputus berdasarkan kepada hadith yang kami nyatakan di atas. Tambahan pula, al-Quran menuntut agar seorang anak itu sentiasa mendoakan kerahmatan dan keampunan buat kedua ibubapanya, menziarahi sahabat-sahabat kepada kedua ibu bapa, bersedekah untuk mereka walaupun selepas ketiadaan mereka selain tunaikan dan penuhi wasiat-wasiat ibubapa yang telah pergi dengan baik.

“Beginilah besarnya tanggungjawab seorang anak kepada ibu bapanya. Sebab itulah anak lelaki harus membuat keputusan bijak agar tidak membawa kemudaratan kepada hubungan suami isteri dan kedua ibu bapanya,” katanya ketika dihubungi.

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros