Menjadi anak kepada seorang selebriti terkenal mengotakan banyak kelebihan kepada sesorang. Namu dalam diam, ia juga tidak mudah kerana tekanan menjadi perhatian masyarakat sepanjang masa. Setiap gerak-geri sama ada baik atau pun tidak, mereka senantiasa menjadi buah mulut orang ramai.
Terbaharu, anak kepada ‘Raja Bollywood’ Shah Rukh Khan, Aryan Khan telah pun ditahan dalam serbuan penyitaan dadah yang dilakukan Narcotics Control Bureau (NCB) di sebuah kapal persiaran di pantai Mumbai.
Menurut News18, Aryan sedang disoal siasat oleh NCB bagi membantu siasatan.
Perbualan WhatsApp Aryan Khan kini sedang diperiksa dan dia boleh didakwa di bawah Akta Narkotik dan Bahan Psikotropik (NDPS) 1985 sekiranya NCB menemui kaitan di antara dirinya dan sitaan dadah tersebut.
Agensi yang menyerbu kapal persiaran, Cordelia telah merampas pelbagai jenis dadah seperti kokain dan ‘hashish’ daripada individu yang didakwa mengadakan parti di atas kapal tersebut.
Seramai lapan orang, termasuk dua wanita telah ditangkap dan hubung kait mereka dengan serbuan tersebut sedang disiasat.
Buat masa ini, Shah Rukh Khan dan wakil peguam mereka masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan tentang penangkapan anaknya itu.
Ada spekulasi yang mengatakan NCB ingin menyasarkan Shah Rukh Khan dan menjadikan Aryan sebagai kambing hitam. Namun, Pengarah Zon NCB iaitu Sameer Wankhede hari ini telah menafikan segala spekulasi kononnya pihaknya menyasarkan individu lain dan mereka telahpun menahan banyak kes sebegini sepanjang tahun.
Kata Sameer kepada ETimes, “Kami tidak ada sebarang isu dengannya (Shah Rukh Khan). Kami telah menahan lebih daripada 300 orang dalam tempoh 10 bulan. Daripada semua tahanan itu, sekurang-kurangnya terdapat empat ke lima individu terkenal. Bagaimana anda boleh menuduh kami menyasarkan seseorang. Hampir semua yang ditahan itu adalah penyenayah yang berkaitan dengan isu penyalahgunaan dadah.”
Dalam pada itu beberapa selebriti lain telah menghulurkan sokongan pada keluarga Shah Rukh Khan seperti bekas isteri Hrithik Roshan, Suzanne. Katanya, anak selebriti itu adalah mangsa yang berada pada tempat yang salah pada waktu yang salah.
Namun, tidak kurang juga ada selebriti yang seakan menyindir kes ini seperti penyanyi, Mika Singh menerusi ciapan ini.