Nama Soh Wai Ching mungkin tidak sepopular pemain sukan-sukan popular yang lain. Namun begitu, tahukah anda personaliti berusia 27 tahun ini sebenarnya sejak tahun 2017 lagi telah membawa nama negara dalam pertandingan Tower Running.
Untuk pengetahuan pembaca, tower running merupakan sukan yang menjadikan bangunan tinggi sebagai lapangan pertandingan. Peserta perlu berlumba-lumba mendaki tangga dan sampai dan menjadi orang yang pertama sampai ke puncak bangunan untuk dinobat sebagai juara.
Terbaharu, jejaka yang berasal dari Selayang, Selangor ini telah menjuarai pertandingan Fight for Air Climb NYC di Penn 1 Plaza, New York, Amerika Syarikat pada Sabtu lalu. Menjadikan kemenangannya lebih manis adalah apabila dia juga berjaya memecahkan rekod lama yang dibuat pada tahun 2013 oleh Tim Donahue.
Dalam temubual bersama media beliau berkata, ““Saya hadir di New York lapan hari lalu dengan misi untuk menyertai dua pertandingan, Tunnel to Towers Climb NYC di One World Trade Center dan Fight for Air Climb NYC di Penn 1 Plaza.
“Misi saya berjaya dipenuhi dengan memenangi kedua-dua pertandingan selain rekod baharu lapangan pada pertandingan kelmarin. Setakat ini, saya menang lapan daripada sembilan pertandingan tahun ini dengan satu penamat di tangga kedua.”
BACA JUGA: Cantik, Berketerampilan & Bijak! Wakil Malaysia Dinobatkan Sebagai Naib Juara Miss Global 2022
Menjadikan kejayaan yang dikecap lebih manis Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan
ucapan tahniah kepadanya.Menerusi satu hantaran di laman Instagram Istana Negara, baginda berdua bertitah, “Tahniah Soh Wai Ching! No, 1 dunia jaguh lari menara negara.Semoga dilimpahi kejayaandan kecemerlangan berterusan.”
Selain mendapat perhatian daripada pihak Istana, kejayaannya juga turut mendapat perhatian Perdana Menteri Malaysia.
“Tahniah Soh Wai Ching kembali ke status No. 1 dunia. Jaguh lari menara negara kebanggaan kita kini mengesahkan statusnya sebagai nombor 1 di dunia selepas mengungguli kategori keseluruhan saingan Tunnel to Towers Climb NYC di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu lalu.
“Keluarga Malaysia amat bangga dengan pencapaian Soh Wai Ching dan berharap akan terus mengekalkan momentum kejayaan ini. Jadikan kejayaan yang telah diukir oleh ahli keluarga kita sebagai inspirasi untuk sama-sama membina kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” ucap Datuk Seri Ismail Sabri menerusi Instagram rasminya.
Semoga dengan kejayaan yang dikecapi oleh Soh Wai Ching menjadi pembakar semangat kepada remaja Malaysia yang lain untuk turut serta mencipta visi dan misi yang terbaik dalam kehidupan. Bukan sahaja membanggakan negara bahkan mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.