
Pelajar SPM 2024 pastinya sedang melalui satu momen yang cukup mendebarkan semalam apabila keputusan rasmi peperiksaan tersebut diumumkan.
Turut tidak terkecuali, puteri kedua kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang berjaya mencatat keputusan cemerlang dengan meraih 8A dalam SPM.
Perkongsian mengenai kejayaan itu dimuat naik sendiri oleh Fadhlina menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasminya.
Dalam hantaran tersebut, beliau bukan sahaja mengucapkan tahniah kepada anakandanya, malah turut menitipkan ucapan penghargaan buat semua calon SPM 2024.
“Kami sayang awak dan sentiasa menitipkan doa buat awak.
“Tahniah buat semua anak-anak yang mengambil keputusan SPM hari ini, khususnya buat anakanda kesayangan kami, Sarah,” tulis Ahli Parlimen Nibong Tebal itu.
Dalam nada penuh kasih sayang, Fadhlina turut mengingatkan para ibu bapa agar sentiasa memberikan sokongan kepada anak-anak tidak kira apa jua keputusan yang mereka terima.
“Apa jua keputusan mereka, ucapkan tahniah dan bersyukurlah. Reda dengan ketentuan kerana ia adalah hasil usaha anak-anak mengikut kemampuan masing-masing.
“Teruskan memberi pedoman agar mereka terus melangkah ke peringkat pendidikan yang lebih tinggi,” tambah beliau lagi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: FB Fadhlina Sidek