Pelakon dan personaliti media sosial, Norreen iman menzahirkan rasa syukur apabila berjaya mendidik cahaya mata tercintanya dengan betul.
Berkata kepada Remaja, pelakon drama popular Rindu Awak Separuh Nyawa itu berkongsi anak perempuannya, Ellen sama sekali tidak melenting dan hanya santai apabila menceritakan semula kejadian menjadi mangsa ‘body shaming’ oleh rakan-rakan di sekolah.
“Ellen seorang anak yang sangat telus dan jujur. Jadi apabila saya dapat tahu cerita itu, pertama sekali sebagai ibu tentulah saya sedih kerana masih lagi ada anak-anak yang menganggap saiz tubuh badan sebagai bahan lawak.
“Saya mengajar anak saya untuk terima diri sendiri dengan bagaimanapun keadaan fizikal. Bila anda semua lihat video itu, Ellen jawab dengan penuh santai tetapi kita sebagai ibu ini sebenarnya kecewa dan sedih,” katanya.
Pada masa sama, Norreen bersyukur kerana anaknya itu tidak sedih dan menerima dengan hati yang terbuka apabila tubuh badannya menjadi bahan lawak oleh rakan-rakan.
“Apabila kita lihat anak boleh jawab seperti itu, bermakna Alhamdulillah ‘aku ajar anak aku dengan cara yang betul kerana dia tidak sedih dan boleh menjawab persoalan dengan santai,” tuturnya lagi.
Sebelum ini tular di media sosial, menerusi perkongsian Norreen di TikTok menceritakan pengalaman anaknya pernah dipanggil gemuk oleh kawan-kawan di sekolah.
Menerusi video tersebut memaparkan Norreen memuji anaknya tetap kelihatan cantik dalam apa jua keadaannya.
SUMBER FOTO: Instagram Norreen Iman
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Serangan Jantung Boleh Berlaku Jika Bersenam Berat Waktu Malam : Pakar Perubatan
Serangan jantung adalah keadaan yang serius dan boleh mengancam nyawa. Ia sering dikaitkan dengan golongan dewasa atau warga emas, namun, hakikatnya serangan jantung tidak mengenal usia.
Kini, semakin ramai golongan muda juga terdedah kepada risiko serangan jantung tambahan lagi yang aktif bersenam.
Serangan Jantung Boleh Berlaku Jika Bersenam Berat Waktu Malam : Pakar Perubatan
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr. Mohammad Farhan Rusli, menyatakan bahawa tidur yang tidak berkualiti juga boleh menjadi punca kepada serangan jantung dalam jangka panjang.
“Bagi kebanyakan orang, senaman yang dilakukan dengan betul atau pada masa yang sesuai tidak akan mengakibatkan masalah kesihatan yang serius.
“Penting untuk kita mengetahui isyarat tubuh sendiri dan berunding dengan doktor sebelum memulakan sebarang aktiviti serta senaman yang intensif.
“Ini termasuk berlatih untuk pertandingan Ironman atau maraton yang panjang dan sebagainya,” katanya.
Pada Ahad lepas, dunia dikejutkan dengan berita duka pemain badminton remaja China, Zhang Zhi Jie, yang disahkan meninggal dunia sekitar jam 11.20 malam akibat serangan jantung ketika beraksi dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2024 di Yogyakarta, Indonesia.
Dr. Mohammad Farhan menjelaskan bahawa senaman berat boleh meningkatkan tekanan fisiologi terhadap tubuh individu.
Katanya lagi, ia mungkin menyebabkan kadar kortisol atau hormon stres bertambah dan memberi tekanan berlebihan kepada sistem kardiovaskular.
“Apabila mereka melakukan senaman terlalu dekat dengan waktu tidur, ia boleh meningkatkan hormon stres pada tubuh masing-masing.
“Masalah tersembunyi seperti penyakit jantung juga mungkin tidak diketahui, dan boleh menjadi penyebab rebah semasa bermain sukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr. Mohammad Farhan menasihati orang ramai untuk menjalani saringan kesihatan yang komprehensif secara berkala untuk mengenal pasti penyakit pada peringkat awal, sekali gus mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.
BACA LAGI: Kenangan Manis Capai Top 24 Miss Supranational 2022, Melisha Lin Akui Bukan Semuanya Glamor – REMAJA
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Pakai Jam Pada Tangan Kiri Dianggap Menyalahi Sunnah? Ini Penjelasan Mufti Wilayah
Seperti leher yang dihiasi kalung berloket mutiara, ianya tampak sangat berkelas. Begitu juga dengan pergelangan tangan, alangkah lebih indahnya apabila ia dihiasi dengan seutas jam tangan. Selain untuk melihat waktu ia juga berfungsi sebagai pelengkap aksesori.
Ada selesa memakai di tangan kanan, tak kurang juga ramai memakai di tangan kiri. Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Sahamah Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebelum ini pernah memperjelaskan satu pertanyaan pemakaian jam tangan di tangan kiri dalam tulisan di fbnya dan apakah kelebihan memakai jam tangan di tangan kanan?
Soalan : Assalamualaikum S.S Mufti, apakah hukum seseorang itu memakai jam di tangan kiri? Adakah ia dianggap menyelisihi sunnah kerana Rasulullah S.A.W suka kepada tayammum (mendahulukan anggota kanan) dalam setiap urusan baginda?
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Secara asasnya, memang benar bahawa Rasulullah S.A.W suka mendahulukan bahagian kanan dalam urusan-urusan baginda. Ini dapat kita lihat di dalam sebuah riwayat daripada A’isyah R.A beliau berkata:
Maksudnya: Adalah Nabi S.A.W suka kepada mendahulukan bahagian kanan, dari sudut memakai selipar, menyikat rambut, semasa berwudhu’, dan juga dalam urusan baginda seluruhnya–Riwayat Al-Bukhari (168)
Ini bermakna baginda sentiasa mendahulukan anggota kanan dalam urusan seharian seperti memulakan pemakaian selipar dengan kaki kanan, menyikat rambut dengan tangan kanan, makan dan minum dengan tangan kanan, dan perbuatan-perbuatan selainnya.
Meskipun begitu, terdapat beberapa riwayat yang secara spesifiknya menunjukkan kepada perhiasan atau aksesori yang dipakai oleh Rasulullah S.A.W di tangan baginda iaitulah cincin. Antaranya adalah sebuah riwayat daripada Anas bin Malik R.A beliau berkata:
Maksudnya: Adalah cincin Nabi S.A.W di sini, lalu beliau menunjukkan kepada jari kelingkingnya dari tangan kiri– Riwayat Muslim (2095)
Justeru hadis ini memberikan petunjuk kepada kita bahawa baginda S.A.W memakai cincin di tangan kiri baginda. Bahkan jika dilihat dari sudut hikmahnya, Nabi S.A.W makan dan minum dengan tangan kanan, justeru dengan memakai cincin di tangan kanan pasti akan menjadikan proses tersebut sedikit sukar. Imam Al-Buhuti Rahimahullah berkata: ‘’Memakai cincin di jari kelingking tangan kiri adalah lebih afdhal berbanding memakainya di jari kelingking tangan kanan, kerana ia lebih selesa dan tetap’’. Rujuk Kasyyaf Al-Qina’, Al-Buhuti (2/236).
Manakala para ulama Syafi’eyyah berpandangan bahawa pemakaian cincin di tangan kanan adalah lebih afdhal dan utama. Ini seperti pendapat Imam Al-Nawawi yang menyebut:
Maksudnya: Adalah dibolehkan bagi seorang lelaki itu untuk memakai cincin perak di kelingking tangan kanannya. Dan sekiranya dia mahu (dia boleh memakainya) di jari kelingking tangan kirinya. Keduanya sahih dilakukan oleh Nabi S.A.W. Akan tetapi pendapat yang sahih lagi masyhur adalah lebih afdhal ia dipakai di tangan kanan. Kerana ia merupakan perhiasan dan tangan kanan adalah lebih mulia.- Rujuk Al-Majmu’, Al-Nawawi (4/333)
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, kami berpandangan bahawa isu pemakaian jam tangan adalah lebih sesuai diqiyaskan kepada pemakaian cincin. Ini kerana, kedua-duanya dipakai di tangan. Oleh kerana itu, apabila kita menyatakan bahawa dibolehkan untuk memakai cincin di tangan kiri, maka demikian juga diharuskan untuk memakai jam tangan di tangan kiri.
Pemakaian jam di tangan kiri ini tidaklah ia termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) perbuatan orang-orang kafir. Ini kerana, ia langsung tidak dianggap sebagai perbuatan yang terkhusus dengan budaya dan adat mereka. Bahkan menjadi suatu kebiasaan yang meluas di seluruh dunia bahawa orang-orang Islam juga memakai jam di tangan kiri.
Kesimpulan
Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa hukum memakai jam di tangan kiri adalah harus. Ini berdasarkan qiyas kepada pemakaian cincin. Adapun begitu, sekiranya seseorang itu memakan jam tangan di tangan kanan dengan tujuan untuk mengikuti sunnah Nabi S.A.W yang suka mendahulukan anggota kanan, ia adalah lebih afdhal dan mendapat pahala Insha Allah. Tambahan pula sekiranya pemakaian jam di tangan kanan itu tidak menyebabkan kesukaran untuk makan dengan tangan kanan seperti dengan menanggalkan jam semasa makan, maka ia lebih utama.
Akhir kalam, kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.
Bukan Wanita Je Lelaki Berpakaian Ketat Juga Boleh Jatuh Haram, Ini Penjelasan Mufti
Mungkin ramai tak sangka, lelaki yang berpakaian ketat boleh jatuh haram kerana mendedahkan diri kepada fitnah yang berbahaya.
Walau ada segelintir mengenakan jersi ketat dan pernah menimbulkan perbalahan netizen mengenai aurat wanita, dapat dilihat lelaki turut mengenakan pakaian ketat yang memang biasa dipakai oleh pelumba basikal.
Dipetik dari laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, haram hukumnya jika berpakaian menampakkan sebahagian aurat atau bentuk badan dan kemudian menjadi tatapan bukan mahram.
Oleh itu, baik wanita mahupun lelaki dinasihatkan perlu menjaga etika pemakaian dengan memakai pakaian yang tebal atau memakai pakaian yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan mereka
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” Surah An-Nur, ayat 24-30″
Dapat dilihat jersi dipakai lelaki ada kalanya tidak menutup lutut saat berkayuh. Sebelum ini, perkongsian dari Ustaz Syed Syahridzan Ben Agil mengenai pakaian sukan ketat.
Jika kita pertikaikan aurat wanita ketika berbasikal, fahami juga apa hukumnya untuk lelaki mengenakan pakaian ketat yang menjadi pemandangan biasa kita lihat setiap hari atau hujung minggu.
Pakaian Sukan Ketat
Wanita yang minat sukan berbasikal dan aktiviti-aktiviti sukan yang lain sambil memakai pakaian ketat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) hukumnya jelas lagi nyata tanpa perlu kepada fatwa mufti.
Ini kerana ia termasuk dalam urusan agama yang ‘tidak boleh tidak’ mesti dan pasti diketahui hukumnya (المعلوم من الدين بالضرورة), tidak kira orang awam atau tidak, semuanya tahu hukumnya haram yang nyata.
Saya pernah ditanya tentang kenyataan para ulama Syafi’iyyah yang menyatakan wanita yang memakai pakaian ketat ketika solat hukumnya makruh. Adakah hukum makruh ini boleh dibawa di luar solat? Jawapan sudah tentu TIDAK. Ini kerana jelas dalam kitab-kitab fiqh menjelaskan hukum itu dalam bab solat sahaja bukan situasi luar solat iaitu di hadapan lelaki ajnabi/bukan mahram.
Buktinya apabila fuqaha membicarakan tentang aurat lelaki mahupun perempuan, mereka memfatwakan berdasarkan situasi berbeza. Contoh ulama syafi’iyyah menyatakan wajah wanita ketika solat tidak wajib ditutup, manakala di hadapan lelaki ajnabi mereka wajib menutup wajah mereka menurut pendapat muktamad (ada pendapat kedua dalam mazhab Syafi’ie wanita harus mendedahkan muka jika aman dari fitnah).
Sama juga perkara yang melibatkan aurat lelaki yang mana para fuqaha menyatakan bahawa aurat lelaki ketika solat paling minimum antara pusat dan lutut. Namun apabila seorang lelaki berhadapan dengan wanita ajnabi maka lelaki itu wajib menutup tubuh badan mereka. Dalam erti kata yang lain haram si lelaki berlengging (tidak berbaju) di hadapan wanita ajnabi. Jelas bukan? Fatwa berbeza berdasarkan situasi yang tak sama.
Dalam kitab al-Majmu’ (rujukan utama kitab fiqh Syafi’ie), imam nawawi menjelaskan maksudnya perkataan نساء كاسيات عاريات (Wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang) dalam hadis sahih adalah wanita yang menzahirkan kecantikan tubuh badan mereka meskipun berpakaian, wanita sebegini termasuk dalam dua golongan ahli nereka. Maka jelas di sini menurut ulama wanita berpakaian ketat di hadapan lelaki ajnabi haram hukumnya. Yang makruh hanyalah ketika solat berseorangan atau bersama mahramnya.
Hukum lelaki memakai pakaian ketat termasuk pakaian sukan. Dalam kitab fiqh menyatakan lelaki memakai pakaian ketat ketika solat hukumnya “Khilaf Awla” iaitu lebih afdal ditinggalkan. Namun jelas apa yang dinyatakan ini berkait rapat ketika solat dan berbeza di luar solat terutama di hadapan wanita ajnabi. Sepakat para ulama dari mana-mana mazhab pun bahawa apa jenis pakaian dan ketrampilan lelaki yang boleh menimbulkan syahwat dari pihak wanita hukumnya haram.
Oleh itu tidak mustahil lelaki yang berbadan cantik, slim dan sado mampu menaikkan syahwat wanita yang melihatnya. Jika tidak, mengapa Allah perintahkan wanita agar menjaga mata mereka seperti yang dinyatakan dalam surah al-Nur, ayat 31? Lelaki boROY yang berpakaian ketat pun ada wanita yang bersyahwat .
Konklusinya lelaki yang berpakaian ketat boleh jatuh haram kerana mendedahkan diri kepada fitnah yang berbahaya, oleh itu sewajarnya dielakkan. Bayangkan isteri orang boleh puji ‘kesadoan’ badan lelaki ajnabi. Suami orang jangan cakaplah, lebih ramai yang puji dan terpikat dengan kecantikan tubuh badan wanita lain. Ini hakikat yang perlu diterima kerana kita kita hidup dalam persekitaran yang tidak sihat. Orang yang dipuji akan berasa bangga tetapi sedarkah pujian itu hasil dari perbuatan dosa?
Akhir sekali segala keputusan dalam menentukan gaya hidup berada di tangan kita sendiri. Kita yang menentukan sama hidup kita ini tunduk pada syariat Allah atau tidak. Tidak salah bersukan tetapi biarlah ia berlandaskan patuh syariah. Sebagai suami anda bertanggungjawab mendidik isteri anda sendiri ke jalan yang diredhai Allah ta’ala. Jangan pula suami berperanan sebagai ajen penyebarkan perbuatan yang salah di sisi agama.
Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Fb Ustaz Syed Syahridzan Ben Agil