Walaupun ketika terjunannya memperolehi skor lebih 90 mata, Hongchan langsung menunjukkan senyuman hinggalah dia disahkan sebagai pemenang pingat emas!
Remaja Malaysia berusia 14 tahun selalunya masih sibuk bermain gajet. Paling tidak pun sibuk mengulang kaji pelajaran untuk mengambil peperiksaan PT3 pada tahun depan.
Namun untuk penerjun cilik dari China yang dikenali sebagai Quan Hongchan ini, rutin hariannya selama beberapa tahun kebelakangan ini adalah berlatih dan berlatih hingga dai bergelar salah seorang atlet termuda yang memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Rata-rata rakyat Malaysia yang menonton siaran langsung acara akhir terjun 10m platform individu wanita sebentar tadi tentunya menyokong atlet negara, Pandelela Rinong.
Namun, tumpuan kita semua juga terarah kepada Hongchan yang telah memberikan persembahan terbaik mengalahkan kesebelas penerjun lain yang lebih berusia dan berpengalaman daripada untuk mencatatkan kutipan keseluruhan 466.20 mata, 40.80 mata di hadapan penerjun senegara Chen Yuxi yang memenangi pingat perak.
Walaupun pada pusinga kedua, Hongchan tewas kepada Yuxi dari segi skor terjunan dan sekadar menduduki tempat kedua, Hongchan bangkit semula dan kekal fokus tanpa menunjukkan senyuman setiap kali dia mencatatkan skor yang tinggi.
Ini menunjukkan betapa kuatnya mentalitinya sempaikan sukar untuk kita percaya bahawa dia baru berusia 14 tahun.
Mungkin keperitan masa kecil Hongchan yang telah berjaya membentuk semangatnya yang kuat.
Quan Hongchan dilahirkan pada tahun 2007 di Maihe Village, Guangdong. Ibu bapanya bergelar petani dan ibunya yang mempunyai masalah kesihatan perlu dirawat pada setiap tahun. Persekitaran keluarganya yang serba susah inilah menjadi sumber kekuatan Hongchan.
Hongchan mula menyertai kejohanan terjun pada 2014 seawal usia tujuh tahun. Ketika itu, dia mewakili daerah Guangdong dan dilatih dengan bersungguh-sungguh. Dalam tempoh tujuh tahun saja, dia menunjukkan prestasi yang semakin mantap sehinggakan dia memenang pingat emas di kejohanan perinkat kebangsaan pada tahun lalu.
Tidak sampai setahun selepas itu, Hongchan terpilih sebagai salah seorang atlet pasukan kebangsaan China!
Dalam satu laporan, Hongchan secara terus terang berkata, “Keadaan ibu memerlukan banyak wang, jadi saya rasa saya harus dapatkan wang supaya ia dapat dihantar pulang ke rumah ibu untuk mendapatkan rawatan.”
Semoga atlet China, Quan Hongchan terus maju jaya pada masa akan datang terutamanya apabila Sukan Olimpik seterusnya di Paris akan menyusul hanya dalam tempoh 3 tahun saja dari sekarang.