Seolah menjadi satu bahan gurauan dan seperti sudah diterima pakai gelaran “makcik bawang”, “akak bawang”, kepochi dan pelbagai gelaran lain di media sosial hari ini.
Biarpun gelaran ini dilihat seakan “mengejek” individu yang suka ambil tahu, suka buat kecoh tetapi gelaran makcik bawang ini dilihat sebagai bahan gurauan dan jadi bahan lawak jenaka yang dianggap selamba.
Kenapa ya, kita suka mengambil tahu hal orang lain? Bertanya soalan yang bukan-bukan dan masa yang sama, kita tidak pernah nak ambil tahu adakah soalan itu menyakitkan hati orang lain? Mengguris hati mereka. Tidak bolehkah kita tidak mengajukan soalan yang menyakitkan hati orang lain?
Bacalah dengan penuh jiwa luahan hati ibu anak istimewa ini. Bagaimana sebenarnya dengan satu pertanyaan itu sebenarnya mampu menguris hati orang lain. Dikurniakan anak syurga yang menderita Ceberal Palsy, akui Saidah Aziz di fbnya, adakalanya hatinya bertisu juga biar sekuat mana dia menerima takdir ditentukan Alllah untuknya meraih pahala di dunia.
Hati saya kental tapi adakala bertisu juga..
***Untuk yang tak punya anak istimewa dialu-alukan baca.***
Situasi 1
Siang tadi mahu pergi pos barang customer, masuk lif dan satu lif dengan jiran depan rumah. Jiran baru pindah rumah, kiranya jiran baru saya. Dia tegur sambil mata melihat darwisy.
Dia senyum dan mula berkata,”dia sakit ke?”
Saya jawab tidak. Tapi mukanya kelihatan agak pelik. Dan terus terdiam tanpa bertanya apa-apa lagi. Tunggu juga tapi dia diam dan saya pun lebih baik mendiamkan diri.
Situasi 2
Pergi AEON Jusco, pergi makan dahulu di food court. Tekak ngidam betul nasi goreng cili padi disini. Duduk dimeja untuk cop tempat dan suami terus order makanan.
Di depan meja kami terdapat seorang ibu dan seorang anak perempuan yang saya kirakan berumur 11 tahun. Mata 2 beranak ini tertumpu pada darwisy sahaja. Darwisy jenis yang akan mengambil masa nak selesakan diri ditempat yang dia tidak biasa. Kaku dan air liur semakin laju mengalir.
Si ibu sudah perasan yang saya tak selesa. Dengan muka yang ketat dan dia membiarkan anaknya yang tengah makan ayam goreng sambil melihat darwisy dengan mata yang tak berkelip-kelip. Saya tenung muka si anak tapi dia seolah tak peduli. Si ibu juga tidak melarang.
Saya tak tahan dan terus menukar tempat duduk dimana keadaan membelakangkan mereka dan sekaligus pandangan mereka pada darwisy akan terhalang.
Apa yang saya terkilan?Apa yang membuat hati saya menjadi tisu?
Situasi 1
Sudah cukup baik, beri dan sedekah senyuman pada anak istimewa ini. Ini saya puji kerana tak ramai masyarakat yang tak punya anak istimewa akan memandang anak ini dengan raut wajah yang menyenangkan hati. Sebaliknya raut wajah mereka bertukar menjadi kasihan, geli dan menjauhkan diri.
Tetapi pertanyaannya perlu diubah. Ini bukan sakit, anak istimewa bukan penyakit tetapi mereka insan kelainan upaya. Pernah saya disapa, banyak kali juga. Sapaan yang langsung tidak mengguris hati saya.
Seperti contoh,
i) “Anak istimewa, Alhamdulillah” (sambil usap badan darwisy).
ii) “MashaaAllah, ahli syurga (sambil pegang tangan darwisy). Rugi tak sentuh anak ini”.
iii) “Kuat ye puan” (sambil mata pandang dan senyum pada darwisy dan usap bahu saya).
Jika jumpa anak istimewa dan juga ibu ayah anak istimewa, usah ditanya bagaimana ke latar belakang anak ini. Nak dicerita ianya terlalu panjang dan menyedihkan. Lebih baik jangan menegur atau bertanya, senyum pun sudah cukup menggembirakan hati.
Beri kekuatan pada ibu ayah anak istimewa. Kalian tidak tahu bagaimana saya sendiri ibu pada anak istimewa melawan diri untuk mencari kekuatan, ianya sakit dan memeritkan. Jadi terus bantu, tak minta lebih tapi cukup sekadar sokongan moral.
Situasi 2.
Anak istimewa bukan bahan tontonan! Tolong…ibu ayah luar sana yang tak punya anak istimewa, berhenti melihat anak istimewa seperti melihat makhluk asing!
Muka kelat, pandangan dan renungan sungguh tajam sekali. Adakah anak ini musuh kalian?!
Dan tolong menasihat dan educate your kids supaya respect pada special needs. Anak kalian sudah cukup besar jika berumur 10 tahun keatas. Pandangan jelik seperti kalian inilah yang akan membunuh keyakinan anak-anak istimewa.
Dunia ini berwarna warni, ada tinggi dan rendah, ada kurus dan ‘semakin’ kurus, warna kulit hitam putih, normal dan istimewa. Jadi terima kehadiran anak ini seperti biasa, seperti tiada apa-apa yang pelik berlaku. Nak pandang boleh, sekadar pandang dan tak usah direnung dengan pandangan yang tajam.
–Saidah Aziz–
Ibu kepada anak istimewa
Cerebral Palsy
Jadi selepas kita membaca luahan hatinya tentu sekali kita akan faham kenapa sebenarnya dengan satu pertanyaan, kita boleh membuat hati orang lain terluka. So, henti-hentikanlah ya pertanyaan yang bukan-bukan!