Mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di sini akhirnya ditemui sekitar jam 4.50 petang, pada hari Sabtu.
Mangsa yang merupakan seorang kanak-kanak lelaki telah ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kesembilan operasi.
Ia sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang maut dalam tragedi berkenaan seramai 31 orang. 20 daripadanya merupakan orang dewasa manakala 11 lagi adalah kanak-kanak.
Memetik laporan Sinar Harian, para petugas SAR semasa jasad mangsa ditemui sebentar tadi kelihatan lega apabila usaha pencarian kesemua mangsa akhirnya tamat.
Antara yang terlibat dalam operasi berkenaan termasuklah anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM)
Masing-masing juga dilihat saling berpelukan antara satu sama lain sebagai tanda lega dan penuh kesyukuran.
Terdahulu, negara dikejutkan dengan tragedi tanah runtuh di jalan Batang Kali-Genting Highlands yang menimpa 92 orang pengunjung tapak perkhemahan Father’s Organic Farm sekitar jam 2.30 pagi sewaktu kesemuanya sedang nyenyak tidur.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.