Anggun & Berkarisma. Miss Earth Malaysia 2023, Manvin Khera Bakal Berjalan Di Pentas Thailand Fashion Week

Share

Kira-kira sebulan lalu, Manvin Khera telah dimahkotakan sebagai pemenang utama pertandingan Ratu Wanita Malaya yang dilangsungkan dalam majlis penuh gemilang. Seiring dengan kemenangannya itu, dia sekaligus memegang takhta Miss Earth Malaysia 2023 dan bakal mewakili negara ke pertandingan tersebut tahun hadapan.

Berjaya mengalahkan 17 peserta lain untuk memegang gelaran utama. Manvin yang pandai menari dan juga memanah percaya bahawa kebaikan harus dimulakan dari dalam diri.

“Saya percaya apa yang menjadikan seorang ratu adalah keupayaannya berdiri untuk dirinya sendiri dan orang lain dengan kasih sayang serta kebaikan. Seiring dengan ketabahannya dalam mengharungi kegagalan dan ketakutan. Tidak lama dahulu, saya belajar bagaimana untuk terus hidup.

“Saya menghargai setiap pelajaran yang saya perolehi sehingga hari ini. Untuk berada di mana saya berdiri kini, saya berharap dapat memberi inspirasi kepada semua orang, untuk berusaha mencapai kecemerlangan tidak kira apa pun yang berlaku,” ujarnya.

Khabar terbaharu mengenai gadis tinggi lampai ini, dia bakal membuat kemunculan sebagai peragawati di Thailand Fashion Week yang bakal berlangsung di Bangkok penghujung November ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Adik Serah Gelaran Kepada Kakak! Miss Eco Malaysia 2023 Milik Thanu Shri

Dalam hantaran akaun Instagram rasmi Thailand Fashion Week, pihak penganjur menulis, “Manvin Khera (Miss Earth Malaysia 2023) bakal membuat kemunculan sulung di Thailand Fashion Week bertempat di Bangkok pada 30 November 2022. Dia bakal berjalan untuk pereka fesyen dan jenama antarabangsa bagi koleksi musim panas/bunga 2023. Saksikan aksinya dari kerusi barisan hadapan.”

Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, Thailand Fashion Week telah diadakan sejak tahun 2000 dan menjadi medan pereka fesyen negara gajah putih itu dan juga pereka fesyen antarabangsa untuk mempersembahkan kretiviti kepada umum dengan lebih berkesan.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen