Anggun, Bijak & Aktif Dalam Kerja Amal, Gadis Asal Sabah Dinobat Sebagai Miss World Malaysia 2022

Share

Gadis Sabah sememangnya berbakat. Setelah melalui pelbagai cabaran dan tugasan, Wenanita Angang akhirnya dinobatkan sebagai Miss World Malaysia 2022. Gadis berusia 26 tahun yang berasal dari daerah Kuala Penyu ini berjaya mengetepikan cabaran 14 peserta lain yang turut bertanding.

Merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sistem Sains Maklumat dari Sunway University, Malaysia dan Lancaster University, England, Wenanita bukanlah wajah baharu dalam dunia ratu cantik. Sebelum ini dia pernah bergelar Unduk Ngadau Kuala Penyu 2018 dan bergelar Miss Sabah Model of The Year 2016.

Sebagai advokasi sosialnya, Wenanita mengetengahkan projek Beauty With A Purpose mengenai Hippotherapy. Ia merupakan satu bentuk terapi menunggang kuda, untuk memulihkan kanak-kanak autistik dan individu yang mengalami cerebral palsy.

Katanya, dia terpikat untuk mengetahui bagaimana menunggang kuda membantu kanak-kanak ini meningkatkan keseimbangan selepas mendengar taklimat doktor di Hospital Mesra Bukit Padang.

Pada malam finale Miss World Malaysia 2022, Wenanita telah diajukan soalan mengenai perubahan iklim yang melanda dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: Tracie Sinidol Dinobatkan Sebagai Dewi Remaja 2022

“Kebenaran yang menyakitkan tentang perubahan iklim adalah ia berlaku dengan pantas dan kita tidak melakukan apa-apa tentangnya. Jika anda semua keluar dari pintu SICC malam ini, pasti anda merasakan bahang panas yang tidak kita rasai beberapa tahun lalu. Saya memohon kepada anda semua bukan sekadar menjadikan isu ini sekadar advokasi tetapi mengambil tindakan sewajarnya,” jawabnya ringkas.

Selain Wenanita yang bergelar juara, Evelyn Ting dari Sarawak menggondol tempat kedua manakala Anya Kimberly pula berpuas hati di tempat ketiga.

Perwakilan Malaysia di pertandingan Miss World antara yang paling cemerlang jika hendak dibandingkan dengan wakil-wakil negara di pertandingan ratu cantik utama yang lain. Boleh dikatakan ramai wakil Malaysia berjaya mendapat tempat atau mara ke pusingan seterusnya dan bukan sekadar bergelar peserta.

Sebelum ini sebagai contoh, pada tahun 1994, Rahimah Orchient Yayah bergelar peserta top 10. Pada tahun 1998 pula, Lina Teoh berjaya berada di kedudukan ketiga manakala Deborah Henry pada 2007 berjaya berada di kedudukan top 16. Selepas itu itu perwakilan seperti Dewi Liana Seriestha berjaya menempatkan diri pada kedudukan top 25 pada 2014.

Wakil terbaharu seperti Larissa Ping, Alexis Sue Ann dan Lavanya Sivaji yang beraksi pada pertandingan edisi 2018, 2019 dan 2020 berjaya menembus ke kedudukan top 30 dan top 40.

Adakah Wenanita akan berjaya mengulangi prestasi baik yang ditonjolkan Miss World Malaysia yang lain, sama-sama kita nantikan. Pertandingan Miss World 2022 dijangka berlangsung penhujung tahun ini.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen