Finalis Hero Remaja Aniq Suhair yang semakin mendapat tempat di dalam industri hiburan tanah air baru-baru ini telah memuat naik gambar di media sosial, berkongsi aktivitinya menjadi sukarelawan di Pusat Penilaian Covid (CAC).
Aniq sempat berkongsi dengan kami tentang perasaannya yang begitu teruja kerana diberi peluang untuk melihat sendiri bagaimana petugas barisan hadapan bekerja seharian untuk menangani wabak pandemik COVID-19 ini.
“Semuanya berlaku secara kebetulan. Aniq cuba memanfaatkan MCO kali ini dengan menjadi sukarelawan. Tak sangka pula terpilih dan diminta untuk bertugas di zon merah CAC (Covid Assessment Centre) di Stadium Titiwangsa. Badan ditenggelami lapisan PPE, hati berasa nervous, takut dan dalam masa yang sama tak sabar untuk bertugas.”
“Alhamdulillah semua pesakit Covid-19 yang datang dalam keadaan baik, tetapi hati ni sebak bila melihat anak kecil dan warga emas turut hadir. Aniq cuma mampu memberi kata semangat dan menceriakan mereka semasa mengambil Vital Sign & SP02,” jelasnya di Instagram.
Ditanya bagaimana prosedur untuk menjadi sukarelawan, Aniq berkongsi cara dan proses untuk orang ramai menyertai pasukan sukarelawan ini.
“Sebenarnya tak susah pun. Kita hanya perlu mendaftar di website atau di bio Instagram @imaret_my, semua ada dalam website itu dan korang juga boleh memilih tarikh dan tempat untuk bertugas. Sebelum memulakan tugasan, korang akan diberi pembahagian kerja dan penerangan terlebih dahulu,”
“Aniq dan pun bertugas sebagai pengiring, jaga kaunter dan buat vital sign. Tempoh masa kerja Aniq pula dari pukul 8 pagi hingga 4 petang. Tak rasa penat pun sebab Aniq memang enjoy bekerja di sana. Kalau nak diikutkan, duduk sahaja di rumah lebih memenatkan berbanding kita keluar bekerja,”
“Banyak yang Aniq belajar, lebih-lebih lagi tentang perubatan, cara memakai dan menyalin PPE dengan betul. Ini sangat penting ya. Lagi pula, semua sukarelawan di tempat Aniq bertugas memang sporting so we had fun,” sambungnya lagi.
Bukan semua orang berani untuk menjadi sukarelawan yang perlu berurusan dengan pesakit atau individu yang berpotensi dijangkiti COVID-19. Aniq tidak menjadikan ia sebagai alasan, sebaliknya remaja ini tidak mahu memikirkan tentang risiko yang bakal dihadapinya.
“InsyaAllah kalau niat kita betul nak membantu, Tuhan akan jaga kita. Perasaan takut dan gementar tu memang ada dan kerana itu kita kena banyak bertanya takut salah langkah jadi lebih buruk pula. Selagi kita mengenakan pakaian PPE dengan betul, insyaAllah semuanya boleh dielak,”
“Nasihat Aniq kepada orang di luar sana yang ingin menjadi sukarelawan, marilah kita sama-sama ringankan tulang untuk membantu. Tak susah pun. Para frontliners kita sudah tak cukup tangan dan tenaga, jadi sukarelawan sekarang pun dah dibayar dan bukannya percuma. So, untuk kebaikan bersama, yang mana rasa tak mahu buang masa di rumah, boleh sertai kami untuk jadi sukarelawan ini. InsyaAllah banyak manfaat yang korang akan dapat,” tambahnya lagi.
Apa-apa pun, tahniah Remaja ucapkan kepada Aniq Suhair kerana berani kehadapan dan menjadi sukarelawan bagi membantu barisan frontliners menangani pandemik ini. Semoga dengan perkongsian ini sedikit sebanyak dapat memberi gambaran dan kesedaran kepada orang ramai untuk turut serta menjadi sukarelawan COVID-19 juga.
Bagi mereka yang tidak berkemampuan, duduk di rumah sekiranya tidak mempunyai urusan penting di luar. Sama-samalah kita putuskan rantaian COVID-19 ini daripada terus menular.