Berita

Anna Jobling Bintangi Filem Di Indonesia, Jadi Pelakon Utama Satu Kebanggaan Buat Industri Seni Tanah Air

Share

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), memuji pencapaian aktres jelita, Anna Jobling, yang membanggakan industri perfileman Malaysia menerusi lakonan hebatnya menerusi filem Indonesia, iaitu Lembayung dan Laut Tengah.

Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman, mengakui bahawa amat mencabar bagi pelakon dari Malaysia untuk mendapat kepercayaan memegang peranan utama dalam karya terbitan negara seberang, memandangkan filem tempatan sukar menambat hati penonton di Indonesia.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Tuah’ Lembayung, Anna Jobling Kini Laris & Bakal Bintangi 3 Filem Lagi Di Indonesia!

“Walaupun beberapa pelakon Malaysia berjaya mencipta nama di Indonesia terutama dalam siri televisyen.

“Anna benar-benar layak menerima pujian kerana berjaya memegang watak utama dalam filem yang ditayangkan di pawagam. Ini adalah pencapaian yang kita patut banggakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau juga menambah bahawa kejayaan bekas peserta Dewi Remaja itu diharapkan dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara industri filem Malaysia dan Indonesia, sekali gus membuka jalan untuk lebih ramai bakat tempatan menempa nama di peringkat antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN:Dikritik Tak Layak Jadi Juri, Anna Jobling Enggan Ambil Pusing

“Kami di Finas berharap kerjasama antara Malaysia dan Indonesia akan semakin kukuh dengan lebih banyak projek filem bersama yang komersial terutama apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anna Jobling turut meluahkan rasa syukur dan gembira dengan penghargaan yang diberikan.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas penghargaan yang diberikan. Kejayaan ini bukanlah milik saya seorang, tetapi hasil sokongan ramai termasuk pihak pengurusan saya, pasukan produksi dan peminat.

“Saya berharap kejayaan ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelakon dan penggiat seni tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa. Saya juga teruja untuk terus berusaha mengangkat nama industri perfileman Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” luahnya.

Sekadar info, Anna kini sedang dalam pembikinan filem Duyung – Legenda Aurora bersama bintang terkenal tanah air seperti Maya Karin, Saiful Apek, dan Datuk Yusry Abdul Halim, yang dijangka akan ditayangkan pada September 2025.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: FINAS

Published by
Fath