Tidak dinafikan, terdapat beberapa filem berskala epik yang sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia kini; termasuklah filem biopik Anwar: The Untold Story, Polis Evo 3, Fast X, Guardians of the Galaxy Vol 3 dan beberapa lagi filem yang dinanti-nantikan oleh penonton.
Di pihak penonton, situasi ini tentunya diterima baik memandangkan ia memberi lebih banyak pilihan di tangan mereka. Tepuk dada, tanyalah selera filem mana yang ingin ditonton.
Begitupun, di pihak pengeluar dan pasukan produksi filem terutamanya dua buah filem tempatan yang sedang bersaing sengit untuk mengaut kutipan, ia sedikit sebanyak memberi tekanan.
Produksi filem Anwar: The Untold Story baru-baru ini misalnya mendakwa sesetengah pawagam cuba mensabotaj tayangan filem biopik arahan pengarah Indonesia, Viva Westi itu kerana ia memaparkan kisah jatuh bangun perjuangan Perdana Menteri kesepuluh, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Walaupun ia kini memegang rekod sebagai filem biopik pertama Malaysia yang mencatatkan kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangannya 18 Mei lalu, Pengerusi DMY Creation iaitu Datuk Mohamed Yusoff mendakwa slot tayangan yang diberikan oleh pemamer pawagam tempatan tidak mencukupi selari dengan permintaan penonton.
Katanya lagi, ada pawagam yang menyediakan 40 slot tayangan untuk filem antarabangsa tetapi hanya memberikan empat slot untuk naskhah terbitan mereka itu. Malah, penonton juga mengadu tidak dapat menonton di beberapa pawagam berikutan tiada slot tayangan.
Sekaligus, kutipan filem Anwar: The Untold Story
sedikit merosot berbanding saingannya seperti Polis Evo 3 yang terus unggul di tangga pertama.ARTIKEL BERKAITAN: RM16 Juta Dalam 4 Hari! Rekod Filem Mat Kilau Dipecahkan Polis Evo 3 – REMAJA
Menjawab dakwaan sabotaj itu, Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) tampil ke hadapan untuk menafikan slot tayangan filem Anwar: The Untold Story telah dikurangkan di 124 buah pawagam negara dan berkata ia tidak pernah meminggirkan mana-mana filem tempatan malah menyokong perkembangan industri perfileman negara.
“Malaysian Association of Film Exhibitors (‘MAFE’) menyangkal dakwaan secara tidak adil terhadap pemamer pawagam tempatan mengenai keengganan menayangkan filem berkenaan dan seterusnya menghalang sasaran kutipan mereka.
“MAFE memperjuangkan pertumbuhan industri perfileman tempatan termasuklah filem Anwar: The Untold Story,” kata mereka.
Tambah MAFE lagi, pemamer pawagam tempatan meletakkan purata lima masa tayangan filem Anwar: The Untold Story meliputi 70 peratus lokasi di seluruh negara. Manakala, slot tayangan lebih banyak tersedia di pawagam yang terletak di pusat bandar.
Korang sudah menonton Anwar: The Untold Story? Senang tak untuk mendapatkan tiket?
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.