Pemergian kanak-kanak lelaki yang menghidap penyakit ketumbuhan otak agresif tahap empat, Glioblastoma Multiforme (GBM), Mas Muhammad Luth Muhammad Arif pada jam 12.14 tengah hari tadi telah ditangisi oleh orang ramai yang berharap agar dirinya sihat dan dapat dirawat di luar negara.
Berita pemergian Luth, 5 dikongsikan oleh keluarga kanak-kanak berkenaan di Instagram.
“Kami sekeluarga menerima takdir ini dengan reda dan mohon semua mendoakan roh Allahyarham Luth ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta dikasihi Allah SWT,” catatnya.
Dalam pada itu, pelakon jelita Anzalna Nasir dan suaminya, Hanif Zaki turut bersedih serta bersimpati dengan berita tersebut.
“Turut berdukacita namun Allah SWT lebih tahun yang terbaik. Ya Rabb, permudahkan jangan Kau sulitkan buat kami semua. Amin ya Rabb,” kongsi Hanif di bahagian Instagram Story sebelum ia dikongsikan pula oleh Anzalna.
Biarpun sudah menjalani pembedahan bagi membuang bahagian agresif itu pada 31 Januari lepas, malangnya keputusan ujian MRI yang diterima selepas menjalani rawatan susulan seperti radioterapi dan kemoterapi kurang memberangsangkan.
Memetik laporan temubualnya dengan BH Online, Anzalna sudahpun mengenali Luth sejak kecil lagi memandangkan ibu Luth, Hazirah merupakan kenalan rapatnya yang bergelar ibu tunggal kepada tiga cahaya mata.
Lantas, Anzalna dan suami cuba mengusahakan pengumpulan dana bagi membawa Luth mendapatkan rawatan doktor pakar di United Kingdom yang merupakan satu-satunya institut perubatan di dunia yang mempunyai kepakaran mengendalikan penyakit tersebut. Apatah pula, Hazirah sendiri sudah mengeluarkan kesemua simpanan yang ada bagi tujuan rawatan.
“Hati siapa yang tidak luluh apabila melihat kanak-kanak ceria tiba-tiba jatuh sakit. Paling menghibakan apabila penyakit berkenaan jarang dijumpai dan amat sukar untuk diberi rawatan,” ujarnya.
Sebagai info, kira-kira hanya 10 peratus sahaja pesakit ‘high grade glioma’ mampu bertahan dan peluang untuk hidup pula hanyalah maksimum selama setahun sekiranya tidak mendapat rawatan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.