Anzalna Tidak Kekok Raikan Ramadan Bersama Dua Anak Yang Sedang Membesar, Masih Sempat Bekerja

Share

Kehidupan sebagai seorang selebriti popular sememangnya tidak menentu terutamanya dalam perihal waktu bekerja. Sebaik mempersetujui dengan komitmen bagi sesebuah projek, suka atau tidak, mereka perlu bersedia untuk mencurahkan segala keringat selagi ia ditagih.

Begitu juga dengan si cantik manis, Anzalna Nasir. Kini, Anzalna dan suaminya, Hanif Zaki sudah boleh tersenyum dengan kehidupan mereka empat sekeluarga setelah ia diserikan dengan kehadiran dua orang cahaya mata, Mohamad Eidrees dan Mohamad Emirhan. Kedua-duanya dilahirkan dalam bulan Syawal, justeru Anzalna mengetahui serba-sedikit mengenai pengalaman mengandungkan anak pada bulan Ramadan.

REMAJA menemui Anzalna pada acara pengenalan beliau sebagai duta kempen Flora Nostalgia Raya bersama Isetan baru-baru ini untuk bertanyakan sekiranya beliau sudah beredia untuk menerima semula tawaran lakonan selepas ini. Maklumlah, komitmen sebagai ibu juga berat tugasnya, inikan pula sebagai pelakon yang memiliki dua orang cahaya mata yang sedang membesar.

Menurutnya, belum tiba masanya untuk kembali terjun ke industri lakonan semula. Bagaimanapun, Anzalna mendedahkan dirinya kini mulai aktif semula dengan projek-projek lain.

“Alhamdulillah, (Emirhan) saya tidak banyak meragam. (Eidrees) pula telah faham sekiranya saya perlu bekerja.

“Bila saya berkata, ‘I have got work today’ dia pun menjawab, ‘Okay Mummy’. Dulu dia tidak faham dan saya takut hendak tinggalkannya. Namun sekarang, jika saya perlu tinggalkannya sebentar dan jika ada apa-apa yang terjadi, dia boleh datang bercerita kepada saya.”

“Jadi bila boleh tingggalkan (Eidrees) dalam keadaan dia boleh bercakap jika ada sebarang perkara terjadi, saya pun memberanikan diri untuk aktif semula dalam industri hiburan ini,” kongsi finalis Dewi Remaja 2009/2010 ini.

 

Harapan Ramadan 2023

Mengintai sisi Anzalna sebagai suri dan ibu di rumah sepanjang bulan Ramadan tahun ini, beliau mengakui rasa teruja itu ada dan berharap agar segalanya dipermudahkan sepanjang bulan mulia ini.

“Tahun lepas, saya mengandung (dalam bulan Ramadan). Jadi tahun ini, insyaAllah harapnya saya boleh berpuasa penuh.

“Dengan dua orang ni, tak tahulah nak bangun sahur tu macam mana. (Ketawa) Janganlah mereka bangun sekali sahur.

“Jujurnya, setiap tahun saya paling tak sabar untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan,” katanya.

Mengenai pengalaman berpuasa sebagai seorang ibu berbanding semasa era bujang dahulu, tentunya Anzalna merasakan wujud perbezaan yang ketara.

“Berbeza sangat. Anak seorang berbeza, anak dua orang berbeza. Anak tiga orang (jeling) tak tahulah. (Ketawa).

“Tapi apa yang Anzalna boleh cakap, kehidupan memang serta-merta berubah bila sudah berkeluarga. Saya amat-amat gembira sekarang dan saya berbangga juga dengan diri sendiri kerana dapat besarkan anak dengan tangan sendiri tanpa ada pembantu,” simpulnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki Bertambah-Tambah Selepas Anak Kedua, Anzalna Nasir Dah Bersedia Beraya Serba Elegan Dengan Isetan – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ