Apa Beza Air Bergas Biasa Vs Diet Soda? Siapa Suka Minum, Kena Tahu Ini Akibatnya…

Share

Minuman air bergas atau disebut bersoda memang tak asing pun pada kita. Kalau lepak masuk McD, KFC atau mana-mana restoran makanan segera, air bergas inilah yang dihidangkan bersama. Betul tak?

Bagi siapa yang suka minum air bergas,  ini sedikit info yang korang kena tahu. Setiap satu tin dengan berat 300 ml, sembilan sudu besar gula digunakan untuk memberi rasa enak kepada minuman bersoda ini.

Kalau sehari minum bertin-tin, kiralah sendiri berapa sudu gula masuk ke badan korang. Kiranya memang mudahlah nak kena kencing manis bila dah tua nanti. Ini realiti dan bukan nak takutkan ya.

Masa yang sama, korang perasan tak, sesetengah air bergas tertulis perkataan Diet Soda! Diet soda ini apa? Apa bezanya dengan air gas bersoda biasa? Mana lebih baik diminum?

Gambar hiasan

Memikirkan ada perkataan “DIET”, maka mereka yang dalam proses menguruskan badan biasanya akan  memilih diet soda sebagai pilihan kerana kata mereka minuman ini tiada gula maka menjadikannya bebas kalori.

Tetapi sebelum diteruskan dengan sikap suka minuman bergas, ini fakta yang harus korang ambil peduli dan mesti prihatin dengannya.

Mengikut Pegawai Dietetik U44, Puan Rafidah binti Othman dari Jabatan Dietetik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), kajian yang dilakukan oleh Sekolah Perubatan Miller, Universiti Miami, menemui sesuatu yang sangat mengejutkan.

“Golongan dewasa yang minum diet soda setiap hari berhadapan risiko sebanyak 44 peratus lebih tinggi untuk mengidap sakit jantung. Berbanding 22 peratus bagi mereka yang tidak atau jarang mengambilnya.

“Sementara  kajian daripada Universiti Texas, San Antonio pula berkata, jika minuman bergas ini diambil dua kali sehari, ia mampu mengembangkan ukuran pinggang sebanyak enam kali ganda,” katanya yang tidak menggalakkan pengambilan minuman bergas ini kerana ia tidak baik untuk kesihatan tubuh badan.

Puan Rafidah

Boleh atau tidak minuman diet soda ini diamalkan?

Pengambilan pemanis tiruan ini masih menjadi kontroversi dan ramai yang tak tahu bahawa sebenarnya Pengurusan Makanan dan Dadah (FDA) serta Persatuan Dietetik Amerika (ADA) sudah menetapkan berapakah had selamat untuk mengambil pemanis tiruan oleh seseorang dalam sehari.

Ada empat jenis pemanis tiruan diklasifikasi popular digunakan dan jika berlebihan boleh mendatangkan mudarat ialah ‘aspatame’; ‘saccharin’; ‘sucralose’ dan ‘acesulfame K’. Ia dihasilkan bukan secara semulajadi jadi, justeru mereka perlu tahu batasan yang boleh diambil agar tidak memudaratkan kesihatan.

Selain itu, umum juga perlu mengetahui minuman diet soda atau soda biasa mempunyai tahap keasidan yang rendah iaitu PH 3.2 termasuk dalam kategori asid yang boleh merosak dan menghakis gigi jika diminum lebih daripada tiga tin sehari.

Bahkan bukan itu saja mengikut kajian yang dilakukan oleh Sekolah Perubatan Harvard, minum soda sebanyak dua kali sehari akan menyebabkan kemerosotan fungsi buah pinggang yang bukan disebabkan oleh gula, tetapi oleh pemanis tiruan. Fungsi buah pinggang dikatakan akan merosot disebabkan oleh pemanis yang digunakan jika mengambilnya sebanyak dua tin sehari.

pix hiasan

Kajian lain pula menyatakan bahawa pengambilan satu tin diet soda sehari boleh mengganggu metabolisme sekali gus menyebabkan lambakan lemak di pinggang dan menyumbang penyakit jantung. Pemanis tiruan juga dikatakan menyebabkan badan gagal mengawal pengambilan kalori seterusnya menyebabkan obesiti.

Ada juga kajian mengatakan minuman diet soda ini mengandungi ‘sodium benzoate’ atau ‘potassium benzoate’ yang menyebabkan kerosakan teruk kepada sel DNA badan, malah ia juga dikaitkan dengan gatal-gatal, asma, dan alahan apabila berlebihan pengambilannya.

Bagi yang gemar sangat minum tu, hati-hatilah ya.

Panduan Dietari Malaysia 2010 menggariskan saranan untuk mengurangkan pilihan makanan dan minuman yang bergula ini mungkin berguna untuk korang.

Katanya, kurangkan pengambilan gula kurang daripada 6-8 sudu termasuk gula tersembunyi dalam makanan, makan buah-buahan segar sebagai pencuci mulut, banyakan minum air kosong serta jangan tambah susu pekat manis dalam kadar berlebihan pada minuman.

Kesihatan kena jaga terutama yang masih muda. Tak adalah nanti muka saja muda tapi badan dah macam orang tua umur 70 tahun.

Published by
Almaswa Haji Che Ros