Apa Itu Alopecia? Doktor Ini Jelas Punca & Rawatan Yang Boleh Dilakukan

Share

Semalam tular di media sosial apabila pelakon Hollywood, Will Smith menampar Chris Rock di pentas Oscar gara-gara berjenaka tentang kepala botak Jada Pinkett, isteri kepada Smith.

Foto: CNN

Tahukah korang sebenarnya Jada berkepala botak kerana mengalami alopecia? Apa itu alopecia? Ia adalah kondisi di mana seseorang itu mempunyai masalah kehilangan rambut (atau bulu). Secara normalnya, rambut manusia boleh gugur sebanyak 50-100 helai sehari, tetapi sekiranya rambut gugur melebihi 100 helai sehari ada kemungkinan individu tersebut mengalami alopecia.

Foto: Hello! magazine

Menurut Public Health Malaysia, untuk wanita biasanya masalah ini disebabkan faktor diet pemakanan tidak seimbang, stres, penggunaan pemanas rambut yang kerap atau rambut gugur selepas bersalin. Manakala, untuk lelaki pula masalah ini disebabkan oleh faktor genetik, umur dan ketidakseimbangan hormon. Antara punca-punca lain adalah seperti hormon, jangkitan (kulat/bakteria), masalah imun/ekzema dan malnutrisi (kurang zat).

Adakah alopecia ni masalah yang kekal? Jika tidak kekal, apa rawatan yang ada untuk merawatnya?

  • Pengurusan stress: susun masa, cukupkan rehat, pengawalan emosi dan gaya hidup.
  • Hentikan pengambilan steroid anabolik (jika ada menggunakannya)
  • Pengambilan diet yang lebih seimbang dan teratur. Kurangkan makanan ringan.
  • Jika puncanya jangkitan kulat di kulit kepala, ubatnya antifungal. Jika bakteria, antibiotik.
  • Jika berpunca dari masalah autoimmune maka perlukan ubat mengawal respon imuniti.
Foto: Medscape

Sekiranya korang sudah melakukan cara-cara seperti itu tetapi tiada perubahan, maka dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor tentang Minoxidil 5% (serum), Fenesteride (pil) dan lain-lain. Fenesteride biasa diberi pada pesakit lelaki sahaja. Ubat-ubat ini perlu pengambilan berterusan untuk menampakkan hasil.

Andai kata rawatan dengan ubat masih tidak mampu mendapatkan hasil yang diharapkan, maka pilihan terakhir adalah hair transplant (tanam rambut). Doktor akan mengambil rambut di kawasan yang tidak botak dan pindahkan (tanam) di kawasan yang botak. Maknanya guna rambut sendiri sahaja.

Secara kesimpulannya, masalah ini mempunyai pelbagai punca dan bukan sekadar menjejaskan penampilan fizikal. Ia boleh mengganggu emosi dan keyakinan diri individu yang mengalaminya. Jadi, topik ini sebenarnya tidak sesuai untuk dijadikan bahan jenaka, apa lagi di majlis besar yang dilakukan secara langsung.

**

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber: (1), (2)

Published by
Noor Ain Norman