Apa Itu Hawar Berdarah? Bukan Saja Haiwan, Manusia Juga Berisiko Maut Jika Dijangkiti

Share

Hari ini tular di media sosial lebih 35 ekor (laporan terkini setakat jam 1 tengahari) kerbau kesayangan Mogwli Malaysia, Syukor mati mengejut. Melihat kepada gambarnya yang dalam kesedihan membuatkan ramai menzahirkan ucapan takziah termasuk datangnya dari Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri.

Dalam pada itu ada mengaitkan kematian secara tiba-tiba kerbaunya akibat hawar berdarah (sampel sudah diambil tetapi keputusan akan diumumkan dalam tempoh dua minggu).

Di sebalik rasa simpati, tentu ramai ingin tahu apakah hawar berdarah yang biasa menyerang haiwan ternakan dan membawa kepada kematian. Namun tahukah, manusia juga berisiko dijangkiti dan boleh membawa kepada maut jika terkena wabak hawar ini.

Bagaimanakah wabak ini boleh menjangkiti manusia?

Dipetik dari portal MyHealth dari Kementerian Kesihatan Malaysia, dikongsikan risiko kematian jika dijangkiti hawar.

Plaque (Hawar)

Hawar adalah jangkitan wabak secara semulajadi yang melibatkan tikus berlaku di merata tempat di seluruh dunia. Penyakit epidemik akut yang melibatkan tikus dan roden liar berlaku di bahagian tengah, timur dan selatan Afrika, Amerika Selatan, bahagian barat Amerika Utara dan di sebahagian besar Asia.

Di sesetengah kawasan, kontak antara tikus hutan dan tikus rumah biasa berlaku dan boleh menyebabkan kes jangkitan manusia dan kadang-kala menjadi wabak.

Penyakit plague ataupun hawar merupakan satu penyakit akut yang boleh membawa kepada kesakitan dan maut kepada manusia dan haiwan. Terdapat dua epidemiologi penyakit hawar iaitu silvatic dan urban. Penyakit hawar silvatic melibatkan transmisi peringkat awal antara rodensia dengan rodensia dan kutu dengan rodensia.

Ia melibatkan beberapa binatang seperti anjing ladang, tupai tanah, tikus tanah, arnab dan lain-lain.

Penyakit hawar urban (domestik) melibatkan tikus komersial terinfeksi di mana ianya melibatkan manusia yang tinggal di persekitarannya. Ianya boleh berlaku dalam bentuk wabak di mana perebakan penyakit ini berlaku dengan cepat dengan adanya beberapa faktor penyebab tertentu iaitu faktor persekitaran, faktor agen dan faktor hos.

Dalam kontek ini, faktor persekitaran adalah rodensia (tikus), faktor hos adalah manusia dan faktor agen adalah bakteria Yersenia pestis. Faktor persekitaran iaitu tikus adalah merupakan perumah kepada kutu yang hidup pada tubuhnya dengan menghisap darah pada tikus tersebut. Apabila terdapat agen iaitu bakteria Yersenia pestis samaada dalam tubuh tikus atau pada kutu itu sendiri maka berlaku jalinan pertukaran agen itu kepada manusia apabila kutu tersebut menggigit manusia.

Antara tanda jangkitan adalah demam, bengkak kelenjar, pendarahan kulit dan pendarahan kelenjar limfa. Keadaan yang lebih teruk akan berlaku apabila gigitan kutu terinfeksi akan melepaskan bakteria kepada sistem saluran darah manusia dan akhirnya akan menyerang sistem kelenjar tubuh.

Kaedah kawalan dan langkah-langkah pencegahan adalah pemantauan yang berterusan di semua pintu-pintu masuk negara. Selain itu, kaedah kawalan yang berkesan adalah kawalan kimia dimana penggunaan semburan gas hidrogen sianid bagi membunuh tikus di gudang-gudang dan juga kapal-kapal yang tiba daripada negara-negara berisiko tinggi seperti dari negara-negara Afrika dan Amerika Latin.




Agen penyebab: Yersinia pestis

Cara jangkitan: Jangkitan kutu yang menular dari tikus ke haiwan lain dan manusia. Jangkitan manusia ke manusia tidak berlaku kecuali semasa wabak pneumonik, apabila titisan cecair pernafasan daripada pesakit menjangkiti orang lain semasa berdekatan.

Wabak juga boleh merebak melalui sentuhan dengan objek yang tercemar (contoh: tisu/tuala), atau cecair atau nanah haiwan yang dijangkiti.

Tempoh pengeraman: 1 hingga 7 hari

Pelancung adalah berisiko rendah. Walau bagaimanapun perjalanan ke kawasan dimana penyakit hawar biasa berlaku (endemik) di kawasan luar bandar mempunyai risiko, terutamanya jika berkhemah atau memburu atau jika tersentuh tikus.

Tanda dan Gejala

  • Demam

  • Batuk

  • Bengkak yang sakit di pangkal peha, leher dan ketiak

  • Muntah

Jangkitan terbahagi kepada 3 jenis:

Hawar Bubonik: Berpunca dari gigitan kutu yang dijangkiti menyebabkan radang pada kelenjar limfa (limfadenitis) dan sekitar kelenjar limfa. Ciri utama: Bengkak yang sakit dan bernanah.

Hawar Septisemik: Merebak dari wabak bubonik atau berlaku semasa ketiadaan limfadenitis. Jangkitan menular ke dalam aliran darah menyebabkan keradangan di selaput otak (meningitis), renjatan endotoksid dan pendarahan yang teruk akibat Penggumpalan Intravasel Tersebar (Disseminated Intravascular Coagulation – DIVC).

Hawar Pneumonik: Jangkitan boleh menular ke paru-paru dan menyebabkan pneumonia yang teruk. Pesakit boleh merebakkan penyakit melalui titisan cecair pernafasan. Individu yang terkena titisan/cecair tersebut boleh mendapat jangkitan paru-paru.

Komplikasi

Tanpa rawatan segera dan berkesan, 50 hingga 60% dari kes boleh membawa maut.

Kesan septisemik yang tidak dirawat boleh menyebabkan renjatan endotoksid dan Penggumpalan Intravasel Tersebar (Disseminated Intravascular Coagulation – DIVC) manakala pneumonia teruk berlaku semasa wabak pneumonik.

Rawatan

Rawatan khusus: Streptomisin adalah disarankan. Ubat lain termasuklah gentamisin, tetrasiklin dan kloramfenikol.

Pencegahan

Jika anda melawat kawasan yang dijangkiti:

  • Elakkan memegang tikus yang hidup atau mati

  • Elakkan berada di tempat yang sesak

  • Elakkan gigitan kutu dengan menggunakan repelan dan racun serangga

  • Elakkan mengendali tikus mati dan laporkan kepada pihak kesihatan jika terjumpa tikus mati

  • Jika anda berhubungan dengan orang yang dijangkiti, elakkan menyentuh cecair tubuh pesakit dan dapatkan rawatan awal

  • Simpan dan lupuskan sisa makanan/sampah dengan betul supaya tikus tidak mencerobohi makanan dan tempat tinggal anda.

Rujukan / sokongan:

  • International Travel & Health, WHO 2006

  • Control of Communicable Diseases Manual, 18th Edition by David L. Heymann, MD, Editor, 2004

    Gambar : Syukor dari Dallahdean Phptography

Published by
Almaswa Haji Che Ros