Sejak kebelakangan ini, kes Macau Scam semakin menjadi-jadi dan kini pihak SPRM telah pun menangkap beberapa orang suspek yang terlibat dalam penipuan itu.
Namun begitu, mungkin ada yang tertanya-tanya apa itu Macau Scam dan kenapa ia dipanggil sedemikian?
Tidak pasti kenapa taktik penipuan ini dinamakan sebagai Macau Scam, namun terdapat dua pendapat yang menjelaskan maksud tersebut iaitu yang pertama, sindiket yang beroperasi menjalankan modus operandi ini datang dari Macau. Manakala, satu lagi pendapat mengatakan bahawa mangsa pertama kaedah penipuan ini datang dari Macau (iluminasi.com).
Kedua-dua ini tidak dapat dibuktikan secara sahih tetapi menurut Astro Awani, Macau Scam didalangi sindiket Taiwan serta China yang menggunakan talian antarabangsa dari Hong Kong juga tempatan.
‘Spoofing’ ialah teknik di mana pemanggil akan berkomunikasi menggunakan paltform Voice Over Internet Protocol (VoIP) bagi membolehkan pemanggil meletakkan sebarang nombor telefon untuk memperdaya pemenerima bahawa pemanggil adalah dari nombor yang tertera di skrin.
Terdapat beberapa cara mereka beroperasi menjalankan kegiatan penipuan ini dan antaranya adalah seperti berikut:
Pengadu menerima panggilan telefon yang mendakwa mangsa telah memenagi pertandingan cabutan bertuah bernilai jutaan dollar dari syarikat Hong Kong dan Macau. Pemanggil kemudiannya memberikan nombor telefon untuk dihubungi sekiranya pengadu mahu menuntut hadiah berkenaan.
Setelah bersetuju, pengadu dikehendaki membayar cukai dan insuran dengan cara memasukkan wang ke dalam akaun tertentu bagi menuntut hadiah tersebut. setelah transaksi selesai, pemanggil gagal dihubungi dan wang hadiah yang dijanjikan tidak diterima.
Pengadu menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai pegawai mahkamah dan polis serta mendakwa bahawa pengadu terlibat di dalam kegiatan haram (seperti ah long, kongsi gelap dan pengedaran dadah) dan mangsa kemudiannya diminta untuk memindahkan wang dari akaunnya ke dalam akaun tertentu, kononnya bagi mengelakan akaun mangsa dibekukan oleh pihak berkuasa.
Mangsa menerima panggilan daripada seseorang yang mengaku sebagai pegawai bank, dengan dakwaan bahawa mangsa gagal membuat bayaran kad kredit. Pengadu kemudiannya diarah untuk menghubungi seseorang, kononnya pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau akaun bank dibekukan. Mangsa akhirnya diperdaya untuk membuat pemindahan wang ke nombor akaun tertentu melalui e-banking atau melalui mesin deposit tunai (CDM).
Mangsa menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mendakwa anak atau saudaranya diculik. Mangsa diperdaya untuk memindahkan wang tebusan ke nombor akaun pihak ketiga yang diberikan oleh pemanggil. (Terkesan juga pelbagai helah dan taktik lain yang digunakan oleh ahli-ahli sindiket untuk memperdayakan mangsa, termasuk dakwaan langgar lari dan gagal membayar hutang pinjaman bank/institusi kewangan).
Sekiranya korang mendapat panggilan daripada individu-individu seperti itu, apa yang patut korang lakukan?
• Sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat atau tipu helah mereka
• Jangan sesekali panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil, tanpa terlebih dahulu menghubungi pihak polis atau institusi kewangan terbabit
• Jangan hubungi semula nombor telefon yang korang terima, sebaliknya dapatkan nombor telefon rasmi syarikat, organisasi atau institusi terbabit untuk pengesahan lanjut
• Jangan dedahkan nombor akaun bank, nombor kad ATM atau kad kredit kepada orang yang tidak dikenali
• Layari portal rasmi BNM untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan (financial fraud) seumpamanya.
Jika korang pernah menjadi mangsa penipuan seperti ini, segera buat laporan polis agar tindakan lanjut dapat diambil segera. Awasi juga ahli keluarga yang lebih tua seperti ibu bapa atau mak/ayah saudara kerana golongan seperti ini lebih mudah diperdaya.
Sumber: Astro Awani