'Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia'. Inilah buku yang baru dilancarkan oleh penulisnya, Kean Wong.
Memaparkan wajah kanak-kanak pada lambang bulan dan bintang, wajah wanita di hadapan selain harimau yang memijak buaya, gambar hadapan kulit buku ini didakwa menyamai lambang jata negara (simbol kedaulatan negara) yang digunakan pakai di passport Malaysia sebagai bukti kewarganegaraan individu memegangnya.
Buat anak muda, dalam erti kata mudah, jata negara adalah lambang kedaulatan dan satu negara merdeka.
Sebaik buku ini dilancarkan oleh penulisnya, wujud respon mempersoalkan mengenai maksud di sebalik buku ini dilancarkan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta KDN menyiasat penulis, penyunting dan penerbit buku terbabit jika wujud motif biadab serta menghina lambang rasmi negara (sumber Berita Harian).
Bukan hanya Dr Asyraf Wajdi, tetapi bantahan turut disuarakan oleh Pemuda Negara Wilayah Persekutuan Adi Ikmal Isa yang meminta Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas ke atas penulis dan penerbit buku “Rebirth” yang mengubah suai Jata Negara pada muka hadapan buku berkenaan (sumber MalaysiaGazatte).
Hal yang sama disuarakan oleh Dr Ahmad Sanusi yang mengulas isu ini di laman fbnya yang bertanya adakah ini penghinaan pada jata negara?
Asyraf Wajdi berkata, imej dipaparkan pada buku itu menggambarkan ada pihak tidak peduli dengan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2016.
"Nampaknya akta yang baru dipinda dengan meningkatkan hukuman 20 kali ganda belum cukup menggerunkan sesetengah pihak sehingga sanggup secara terbuka membuat penghinaan terhadap lambang rasmi negara, melalui penerbitan buku sebegini," katanya.
Ini hukuman menanti kalau hina Jata Negara
Akta itu memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun dan denda sehingga RM20,000 bagi kesalahan penggunaan lambang negara termasuk jata negara secara tidak wajar.
Bacalah perkongsian dari Dr Ahmad Sanusi mengenai buku ini.
Penghinaan Pada Jata Negara?
=========
1. Kalau dahulu timbul isu Jalur Gemilang dikibarkan terbalik, hari ini timbul pula aduan yang mengadu tentang isu Jata Negara seakan dipermainkan. Dalam sebuah buku yang disunting oleh Kean Wong, muka hadapan buku tersebut seakan mempamerkan Jata Negara yang telah diubah.
2. Gambar yang mirip Jata Negara itu menyelitkan watak seorang kanak-kanak yang berbogel pada bulan dan bintang. Pada hakikatnya, menurut Jabatan Penerangan Negara, bulan dan bintang pada Jata Negara ini adalah simbolik kepada Agama Islam. Malaysia mengangkat Agama Islam sebagai Agama Persekutuan buat negara ini.
3. Gambar tersebut turut mengubah Cogan Negara yang dinukilkan dalam Bahasa Melayu dan Jawi. Ruang Cogan telah diubah menjadi gambar buaya merah. Begitu juga gambar harimau disisinya dipamerkan dengan penampilan yang berbeza.
4. Biarpun kita tidak memahami tujuan sebenar pelukis atau penulis atau penerbit yang memaparkan gambar mirip Jata Negara ini pada buku ini, namun kita mestilah mendidik rakyat agar menghormati simbol rasmi negara.
5. Jata Negara merupakan lambang rasmi kerajaan Malaysia yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952. Dalam peruntukan undang-undang turut menyebutkan tentang larangan menggunakan Lambang Negara dengan kaedah yang tidak wajar dalam Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.
6. Sekiranya pelukis atau penulis atau penerbit memang berniat untuk menghina Jata Negara, maka kumpulan seperti ini seharusnya boleh dikenakan tindakan. Mereka bukan sahaja menghina Jata Negara, bahkan mengubah simbol Agama Islam yang dipaterikan dalam lambang rasmi negara ini.
7. Ingatkan kepada warga Muslim bahawa Rasulullah memilih sahabat yang hebat yang berperanan menjaga lambang rasmi Islam. Mereka yang memegang bendera rasmi adalah mereka yang bukan calang-calang. Bendera Islam ketika dalam Badar di pegang oleh Mus’ab ibn Umayr sehinggalah beliau syahid dalam perang Uhud.
8. Malah begitu pentingnya simbol rasmi ini, Rasulullah menamakan nama-nama tertentu yang mempunyai kedudukan di sisi Rasulullah untuk mendaulatkan perjuangan dan bendera Islam. Perkara ini boleh diperhatikan dalam Perang Mu’tah dimana Rasulullah telah menamakan Zaid ibn Haritha, dan Ja’far Abu Talib dan Abdullah ibn Rawahah yang mana kesemua mereka bukan calang manusia.
9. Masyarakat mestilah dididik menghormati lambang rasmi Negara. Ia sebagai langkah membina kesetiaan dan penghormatan buat tanah air tercinta. Janganlah bersikap seperti segelintir kita yang merendahkan simbol negara, mengibarkan jalur gemilang secara terbalik bahkan merendahkan tulisan jawi yang menjadi identiti negara.
10. Kumpulan yang menghina lambang rasmi negara tidak layak dianggap sebagai warganegara. Mereka tidak menghormati perjuangan dan usaha datuk nenek dahulu dalam mendapatkan kedaulatan negara ini.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi