Hari ini, isu AUKU kembali hangat diperkatakan oleh panel YB MUDA di sebuah program wacana kendalian Sinar Harian.
Bagi korang yang masih menuntut di peringkat kolej dan universiti, pastinya korang serba sedikit tahu mengenai isu AUKU yang mengekang kebebasan pelajar untuk bersuara dan mengadakan aktiviti.
Namun bagi yang tidak berapa familiar dengan kewujudan akta ini, kami ada jawapan mengapa ia bertukar menjadi salah satu isu hangat di dalam manifesto sektor pendidikan kerajaan Pakatan Harapan.
Akta Universiti dan Kolej Universiti ataupun AUKU 1971 adalah satu akta yang sebahagiannya berada di bawah kuasa Kementerian Pendidikan. Walaupun idea asalnya adalah untuk mengawal soal pentadbiran dan perjalanan universiti agar lebih teratur, namun secara tidak langsung, sebahagian daripada dasar AUKU sebenarnya menghalang pembabitan pelajar dengan parti politik, persatuan sekerja dan penggabungan badan-badan pelajar.
Inilah yang membangkitkan kemarahan ramai mahasiswa Malaysia yang mendakwa AUKU sebagai penghalang suara mereka daripada didengari, sebagai punca hilangnya kuasa autonomi oleh pihak universiti sendiri dalam membuat keputusan tertentu dan akhir sekali menjadi punca ketidak adilan kepada pelajar universiti secara amnya.
Untuk pengetahuan korang, AUKU pernah dipinda buat kali pertamanya pada tahun 2012 di mana Timbalan Menteri Pengajian Tinggi pada waktu itu, Datuk Saifuddin Abdullah telah menggulung perbahasan pindaan tersebut.
Antara ‘syarat’ baru yang dituntut oleh AUKU 2012 ini adalah ia membenarkan mahasiswa terlibat dalam apa juga persatuan dan kumpulan termasuk parti politik ketika di LUAR kampus. Namun, syarat ini hanyalah untuk pelajar cemerlang akademik sahaja.
Kata Datuk Saifuddin ketika itu, langkah pindaah AUKU 2012 boleh membuang sifat pasif dan berdiam diri di kalangan pelajar, yang akhirnya akan melahirkan mahasiswa berkualiti tinggi yang mampun menyumbang kembali kepada pembangunan negara.
Walaupun dengan pindaan tersebut, mahasiswa Malaysia masih merasakan diri mereka dikekang kerana masih wujud unsur diskriminasi terhadap mahasiswa terutamanya dalam kebebasan menyokong mana-mana parti politik lain selain parti kerajaan.
Seperti yang pernah diperjelaskan oleh bekas ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nazrul Nazir kepada rakan di Astro Awani, pemansuhan AUKU pada kali ini akhirnya akan membuka ruang yang lebih luas kepada mahasiswa untuk berbincang secara kritis akan soal dasar dan polisi kerajaan.
“Dahulu selepas pindaan 2012, mahasiswa yang memihak kepada pembangkang akan dikekang daripada menjalankan aktiviti di luar kampus dan disekat apabila cuba menyampaikan idea di dalam kampus.
“Situasi ini berbeza dengan mahasiswa yang memihak kerajaan pada waktu itu. Asalkan menyokong dasar kerajaan, mahasiswa bebas untuk bersuara dan tidak disekat sama sekali. Bagaimana kita sebagai pelajar ingin menentukan pros dan cons kepada sebarang keputusan kerajaan sekiranya hanya sebelah pihak yang diberi peluang” ujarnya.
Pemansuhan AUKU oleh kerajaan baru ini juga akan mengurangkan pengaruh politik dalam pentadbiran universiti.
Seperti yang dibahaskan oleh Ketua Pemuda Bersatu yang juga ahli parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, politik sama sekali tidak boleh dicampur adukkan dengan pentadbiran pendidikan sekiranya kita ingin melihat negara maju.
“Pemansuhan ini bukan saja penting agar mahasiswa kembali boleh bersuara seperti yang berlaku di Universiti Oxford dan Universiti Cambridge. Ia juga akan mengurangkan bidang kuasa menteri dalam melantik dan menentukan jawatan penting di universiti, seperti Canselor dan Timbalan Naib Canselor.
“Sekaligus, pengaruh politik dapat disekat daripada menyelinap masuk ke dalam universiti,” katanya dalam bual bicara ‘YB MUDA: Cabaran Memimpin Rakyat’ kendalian Sinar Harian, hari ini.
Pada pendapat Datuk Saifuddin yang kini bertindak sebagai Setiausaha Agung PKR pula, pemansuhan akta AUKU bukan bermaksud tiada akta yang dikenakan pada peringkat universiti hari ini.
Namun akta baru akan diwujudkan untuk menggantikan AUKU. Perkembangan akta baru itu akan dibincangkan di peringkat kementerian oleh Dr. Maszlee Malik.
Namun selepas ia dimansuhkan kelak, beliau berharap semua pihak akan menjadi lebih matang ketikan beraktiviti di universiti. “Malah, kita hendak ibu bapa mengambil berat kehadiran pelajar dan penglibatan mereka dalam dunia politik akan seimbang dengan pelajaran di universiti.”
Aspirasi ini juga pernah dikongsikan oleh Tun Mahathir dua bulan lalu semasa beliau memuat naik ucapan melalui video langsung di Facebook.
“AUKU akan dimansuhkan. Tetapi selepas ia dimansuhkan, kita hendak supaya ibu bapa mengambil berat dengan kehadiran mereka.
“(Sebelum ini) Kita dapati ramai yang terpesong dengan aktiviti lain seperti politik sehingga mereka tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran. Namun sekarang, rakyat sudah dewasa dan sudah faham. Sebalik kita akan desak ibu bapa untuk perhatikan tingkah laku anak mereka,” kata Tun Mahathir.
* * * * *
Apa pendapat korang, adakah mahasiswa Malaysia dapat memastikan penglibatan mereka dalam hal dunia politik selepas ini tidak akan membayangi matlamat sebenar mereka di universiti iaitu untuk menuntut ilmu?
Adakah mahasiswa Malaysia sudah bersedia untuk memegang kuasa kebebasan?