Khabar pelepasan jawatan Perdana Menteri benar dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad baru saja disahkan oleh Pejabat Perdana Menteri.
Ramai tertanya-tanya apakah yang bakal berlaku sekarang?
Sebelum kita merujuk kepada apa yang bakal berlaku, kita lihat dulu kuasa pelantikan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong.
Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahawa Perdana Menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong melalui kuasa budi bicara baginda. Kuasa pelantikan ini disandang oleh Yang di-Pertuan Agong menerusi Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 40(2) itu menyatakan, ‘Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi berikut, iaitu: (a) melantik seorang Perdana Menteri; (b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen; (c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini’.
Peruntukan ini jelas memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, perlantikan itu juga adalah di atas kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Perlembagaan tidak menyebut mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong memecat Perdana Menteri.
Namun situasi terkini, Perdana Menteri telah meletakkan jawatan dan bukannya dipecat.
Apabila perkara ini berlaku, di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, seluruh kabinet akan secara automatik dibubarkan dan kabinet baru perlu dibentuk semula. Kesemua jawatan Menteri Kabinet, Menteri Besar, Ketua Menteri dan Exco Negeri perlu dikosongkan.
*
Malaysia jelas bakal menerima barisan kepimpinan baharu. Adakah kita sudah bersedia?