Apakah Sebenarnya Platform ‘AFLIX’ Yang Tiba-Tiba Tular?

Share

Secara tiba-tiba, jenama Aflix bertukar menjadi topik perbualan utama netizen di media sosial selepas persatuan FINAS mencadangkan kepada kerajaan agar platform hiburan atas talian, Netflix diharamkan di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Cadangan FINAS Untuk Haramkan Netflix Dibalas Idea Bijak Netizen

Cuma satu saja persoalannya, apakah Aflix sebenarnya?

Aflix berpaksi dari Cyberjaya sebagai sebuah pasukan yang diwujudkan oleh pengguna komuniti daripada grup ibu bapa. Mereka mendakwa mampu membantu proses penapisan kandungan drama dan filem yang ditonton oleh rakyat Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Teknologi syarikat itu, Azarul Hakim kepada rakan media di The Star selepas dihubungi, pihak Aflix beranggapan penapisan kandungan itu perlu dilakukan untuk penonton matang dan kanak-kanak bawah usia.

"Kami menyediakan kandungan beretika dengan menapis dahulu. Kandungan berlebihan seperti keganasan dan gangguan seksual boleh membawa kepada isu tingkah laku di kalangan masyarakat."

Buat masa ini, pelan langganan platform itu diletakkan pada harga RM4 sebulan atau RM41 setahun. Harganya rendah buat masa ini sebagai strategi untuk mengajak masyarakat melanggan Aflix terlebih dahulu.

Aflix juga dikhabarkan sedang mengumpul 10,000 tajuk drama dan filem sebelum mereka menemui Malaysia secara rasmi. Azarul berkata mereka sudah mempunyai 3,500 kandungan daripada pihak pengeluar dari Korea Selatan, Jepun dan India.

Besar kemungkinan, mereka akan menawarkan fungsi video-on-demand (VOD) dan fungsi biasa.

Mereka juga dikatakan sedang menyiapkan sebuah siri animasi 50 episod, namun enggan menamakannya.

Nama Aflix menjadi hangat apabila ia didakwa adalah motif tersembunyi Finas untuk mengharamkan Netflix dan memperkenalkan platform sendiri sebagai pesaing Netflix.

Published by
webadmin