Aplikasi Muslim Pro Tolak Khabar Angin Jual Data, Lancar Siasatan

Share

 

Setelah tular semalam mengenai laporan kononnya pihak ketenteraan Amerika Syarikat telah membeli data pengguna sebuah aplikasi mobile Islamik, hari ini Muslim Pro telah menidakkan dakwaan tersebut serta-merta.

ARTIKEL BERKAITAN: US Didakwa Beli Data Pengguna Apps Muslim Pro

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Muslim Pro berkata mereka sentiasa komited untuk memelihara dan menjaga privasi para pengguna mereka secara serius.

“Laporan media seluruh dunia yang mengaitkan Muslim Pro dengan aktiviti menjual data peribadi para penggunanya kepada ketenteraan Amerika Syarikat adalah tidak betul dan tidak benar.

“Kami mengaplikasikan sistem sekuriti dan perlindungan yang menepati piawaian industri, serta memilih rakan teknologi terbaik untuk menyimpan data yang kami perolehi dengan selamat dalam infrastruktur ‘cloud’ kami sendiri.

“Disebabkan oleh kepercayaan yang diberikan oleh pengguna Muslim kami pada setiap hari, kami sentiasa bersift terbuka dan telus mengenai maklumat peribadi yang kami ambil, simpan dan proseskan.

“Oleh itu, sejak kami menyedari wujudnya pertuduhan ini, kami telah melancarkan siasatan dalaman dan sedang mengkaji semula polisi simpanan data kami demi memastikan kesemua data pengguna dikendalikan mengikut keperluan sedia ada.

“Bagaimanapun, kami telah memutuskan untuk menghentikan kerjasama kami dengan semua rakan data kami termasuklah X-Mode secara serta-merta,” kata wakil Muslim Pro sebelum memohon maaf kepada kesemua pengguna mereka yang risau dengan laporan sebelum ini.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan aplikasi Muslim Pro.

Untuk pengetahuan korang, aplikasi mobil Islamik yang diasaskan di Singapura ini telahpun mencapai hampir 100 juta pengguna di lebih 216 buah negara seluruh dunia sejak ia diperkenalkan 10 tahun lalu.

Sama-samalah kita menantikan kenyataan terbaru daripada Muslim Pro setelah siasatan tamat dilaksanakan. Sementara itu, berikut merupakan beberapa lagi aplikasi Islamik lain yang popular di kalangan pengguna.

Antara fungsi yang membuatkan Muslim Pro popular adalah penentuan arah kiblat dan audio bacaan ayat Al-Quran. Adakah aplikasi lain ini mempunyai fungsi seakan sama dengan Muslim Pro?

 

Published by
FZ