Pendermaan organ dan tisu selepas kematian hanya akan dijalankan setelah kebenaran diterima daripada waris atau keluarga terdekat. Jika korang mempunyai hasrat untuk menderma atau telah berikrar untuk menjadi penderma organ, adalah penting jika hasrat murni ini disampaikan kepada ahli keluarga.
Terbaharu, aplikasi MySejahtera dikatakan akan dicadangkan untuk ditambah nilai bagi tujuan pendermaan organ. Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata situasi pendermaan organ di Malaysia semakin berkurangan. Ia menyebabkan rawatan pembedahan transplan organ khususnya bagi pesakit buat pinggang peringkat akhir (ESKD) sukar dilakukan.
“Jumlah mereka bersetuju menderma organ hari ini semakin berkurangan dan kita mungkin akan menggunakan aplikasi MySejahtera untuk memudahkan rakyat Malaysia (menderma),” jelas Khairy.
Bilangan pesakit buah pinggang di seluruh negara dijangka meningkat sehingga 106,000 orang menjelang tahun 2040. Ketika ini terdapat 40,000 pesakit yang sedang menjalani rawatan dialisis. Kajian juga mendapati seramai 8,000 pesakit baharu disahkan pada tahun 2018.
Di negara-negara seperti Malaysia, Mesir, Arab Saudi, Iran, Pakistan dan Singapura, umat islam dibenarkan berikrar serta mendermakan organ dan tisu mereka mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Pendermaan organ akan dilakukan berdasarkan kriteria berikut:
i. Hanya organ dan tisu yang didermakan oleh keluarga.
ii. Organ dan tisu itu masih berfungsi dan boleh digunakan selepas kematian.
iii. Ada penerima sesuai yang menunggu.
Sebelum ini kesedaran tentang menderma organ ini tidak begitu diketahui umum dan mungkin selepas ia wujud di dalam aplikasi MySejahtera akan membuka mata lebih ramai masyarakat tentang pentingnya hal ini.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.