Selepas Singapura dan Thailand menjadi negara Asia Tenggara yang mempunyai cawangan Apple Store, khabarnya negara kita akhirnya akan menerima Apple Store seawal tahun 2022 nanti.
Menurut laporan daripada The Edge, besar kemungkinan ia akan dibuka di The Exchange, sebuah pusat membeli-belah yang terletak di tengah-tengah Tun Razak Exchange. Perbincangan antara pihak Apple dan The Exchange masih lagi dilakukan, namun keputusan muktamad belum lagi dibuat. Masih banyak perkara yang harus diteliti dan diperlukan sebelum Apple Store pertama dibuka di Malaysia.
The Exchange dilihat sebagai lokasi paling sesuai dengan perancangan Apple untuk menjalankan operasi yang benar-benar lestari dan mesra alam. Bangunan ini dibina untuk melepasi piawaian yang ditetapkan oleh Leadership in Energy and Environmental Design
(LEED) dan Green Building Index (GBI) untuk memastikan ia benar-benar lestari.Setakat ini, tiga Apple Store yang ada di Asia Tenggara terletak di Orchard Road dan dua lagi di Thailand, Iconsiam dan Central World.
Pastinya pengikut setia Apple di Malaysia sudah tidak sabar dan teruja menantikan jawapan sama ada Apple Store benar-benar akan membuka cawangannya di negara kita atau tidak.
Sumber: amanz.my