Arab Saudi Buka Ibadah Umrah Untuk Jemaah Luar Negara Mulai 10 Ogos

Share

Mungkinkah ada sinar buat jemaah Malaysia untuk menunaikan umrah pada tahun ini? Ya, kami pasti ramai yang merindui untuk menjejakkan kaki di tanah suci bagi menyempurnakan ibadah umrah atau haji.

Terbaharu, Arab Saudi telah mengumumkan bahawa kerajaan mereka bakal membuka semula kepada jemaah dari luar negara bermula 10 Ogos ini.

Foto: BBC

Menurut laporan Gulf News menerusi kenyataan daripada Saudi Press Agency, pengumuman itu susulan kejayaan musim haji tahun ini. Ibadah umrah bagi rakyat Arab Saudi dan penduduk ekpatriat sudah pun dibuka.

Awal bulan ini, Kementerian Haji dan Umrah menggantung sementara permohonan untuk menunaikan solat dan ibadah umrah di Masjidilharam. Ia bagi membolehkan jemaah haji menunaikan ibadah dengan lancar dan petugas menyelesaikan kerja sanitasi di Masjidilharam.

Menurut Twitter Haramain Sharifain, penerbangan langsung dibenarkan dari semua negara kecuali India, Pakistan, Indonesia, Mesir, Turki, Argentina, Brazil, Afrika Selatan dan Lubnan yang dikehendaki untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di negara ketiga sebelum tiba di Arab Saudi.

Selain itu juga, jemaah diwajibkan menerima vaksinasi COVID-19 lengkap, sama ada Pfizer, Moderna, AstraZeneca atau Johnson & Johnson (J&J).

Imunisasi lengkap membabitkan vaksin keluaran China pula dikehendaki berserta dos ‘penggalak’ sama ada suntikan Pfizer, Moderna, AstraZeneca atau J&J.

Kebenaran ini juga adalah untuk jemaah berusia 18 tahun dan ke atas, serta ketibaan melalui agensi umrah yang ditauliahkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Hm, nampaknya negara kita tidak dilarang untuk melakukan ibadah umrah, namun disebabkan kes positif COVID-19 masih meningkat, ia mungkin sedikit sebanyak menjadi ‘penghalang’ untuk jemaah Malaysia ke sana.

Apa-apa pun marilah kita berdoa agar situasi pandemik ini berakhir segera supaya masyarakat dunia dapat menjalani kehidupan seperti biasa. InsyaAllah!

Sumber: (1)

Published by
Noor Ain Norman