Sebuah artifak lama, kepala mumia dari Mesir yang dipercayai berusia 2,800 tahun, kini mula dijual dalam acara lelongan. Ia mula dibawa ke United Kingdom (UK) oleh seorang askar warga Britain semasa Perang Dunia Pertama.
Lapor Daily Mail, artifak yang tersimpan lama di dalam almari selama beberapa dekad, kini di lelong pada harga 20,000 pound iaitu bersamaan dengan RM111,481.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Miracle Baby’, Pasangan Kembar Lahir 24 Minggu Dibenarkan Pulang Selepas 150 Hari Terima Rawatan
Dilaporkan, kepala mumia yang dipercayai berasal antara 800 dan 750 sebelum Masihi itu disimpan oleh keluarga askar yang identitinya tidak didedahkan, selama 100 tahun.
Selain itu, artifak berkenaan turut diawet semasa Tempoh Pertengahan Ketiga Mesir purba iaitu antara 1070 hingga 664 sebelum Masihi.
Tambah laporan itu lagi, ia akan dijual dalam acara lelongan Swan Fine Art yang bertapak di Teitsworth.
Pakar Swan Fine Art, Matthew Hull mengakui kepala mumia Mesir purba amat jarang sekali dapat dilihat dalam acara lelongan awam.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Daily Mail
Saya Selalu Mimpi Kaki Dikisar! Sakitnya Masih Terasa, Ada Ketika Sampai Demam
Ingat lagi tak kejadian penghujung tahun lalu yang menimpa seorang rakyat Malaysia, Danial Arief Ahmad Fuat, 22 tahun yang separuh dari kakinya hancur ketika mencari bekerja di sebuah kilang pengitar sampah di Samseong, Seoul Korea Selatan.
Ketika kejadian, Danial dikatakan sedang bekerja sebelum mesin pengisar sampah tersebut tersangkut menyebabkan dirinya perlu masuk dan mengorek sampah yang melekat di mesin bagi membolehkan ia beroperasi semula.
Namun tiada siapa menduga, mesin tersebut bergerak semula sekaligus mengakibatkan separuh dari tubuhnya dikisar dalam kejadian yang dikatakan amat menggerikan.
Selepas empat bulan kejadian dan untuk mengikuti perkembangan terkininya, REMAJA menghubungi Danial Arief yang kini sedang menjalani rawatan di Ajou University Hospital, Korea Selatan.
Saat dihubungi, Danial menjelaskan dirinya dalam keadaan sihat. Dirinya baru saja selamat menjalani pembedahan kali ke lima iaitu mengambil kulit di bahagian perutnya untuk ditampal di peha yang tinggal sebelah.
“Pembedahan dilakukan 19 hb lalu jam 6 petang. Alhamdulillah, dua jam kemudian, saya sudah selesai. Buat masa ini dalam proses pemulihan dan perlu di dressing setiap hari,”katanya lagi.
Berat tinggal 65kg
Mengakui dahulu beratnya 120kg ketika mula bekerja, namun hari ini tubuhnya hanya tinggal 65 kg sahaja. Terbaring di katil hospital menunggu proses pemulihan selain pembedahan demi pembedahan membuatkan berat dirinya berkurangan dengan banyak.
“Jujurnya saya rindu dengan masakan Malaysia tambah pula saya orang Penang. Tahu sajalah tempat itu syurga makanan. Tapi sekarang di sini, hanya nasi dan ikan rebus seperti salmon,”katanya yang tidak sabar kembali semula ke tanah air.
Namun keadaan dirinya yang belum sembuh sepenuhnya membuatkan anak muda ini tidak pasti bila boleh pulang ke tanahair.
Tidur masih lagi mimpi kaki dikisar
Tentu ramai ingin tahukan, bagaimana keadaan Danial selepas empat bulan berlalu.
“Jujurnya, boleh dikatakan saya agak kerap termimpi kaki dikisar mesin. Ada ketika sakitnya masih terasa. Ada ketika sampai demam-demam. Ikutkan emosi tidak berapa stabil tapi saya cuba untuk positifkan diri dan menghadapi ujian ini dengan baik,”katanya memaklumkan dirinya sesekali ditemani ayahnya yang datang melawatnya di Korea.
“Ayah yang jaga saya.Bila dia balik ke Malaysia, selang nanti ayah akan datang semula sebab risau. Mak pula di Pulau Pinang menantikan kepulangan saya,”katanya yang pernah menjalani pembedahan membuang pangkal pehanya kerana dijangkiti kuman.
Saat ditanya bolehkan diberi gambar terkini keadaan kakinya, kata Danial buat masa ini kaki itu belum sembuh dan dia meminta maaf kerana tidak dapat berkongsi gambar berkenaan.
Dalam masa yang sama, saat ditanya bagaimana kos biaya rawatannya, kata Danial, dia tidak tahu berapa jumlah terkini dan bapanya yang uruskan segalanya.
Tambahnya lagi, agen dari Korea yang mengambilnya bekerja sering mengambil berat akan keadaannya malah jika bapanya datang menziarahi ke Korea, bapanya akan duduk di rumah sewaan disediakan untuk pekerja.
“Saya sangat bersyukur kerana agen ini masih ambil berat keadaan diri saya selepas kejadian ini.Pihak kilang memang sudah lepas tangan akan kes ini dan Cuma agen ini saja yang banyak membantu. Masa yang sama, saya memang tidak tahu berapa banyak kos pembedahan dan selama saya tinggal di hospital.
“Saya cuma mahu kembali sihat dan segera balik ke tanahair,”katanya lagi.
Bagi korang yang mahu membantu Danial untuk membayar bil perubatannya boleh salurkan ke akaun Bank Islam milik bapanya, Ahmad Fuat Yun di akaun 07052020304338. Hari ini kita bantu orang, mana tahu esok lusa orang bantu kita pula kan.
Jom doakan kesembuhan segera buat Danial Arief. Mohon dirinya diberi kekuatan dan semangat yang kuat.
Boleh Rentas Negeri Bermula 1 Mei, Bagi Yang ‘Terperangkap’ Di Kampung
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 19 Mac lalu, soalan yang sering kita tanya-tanya mestila bila benda ini nak berakhir?
Lagi-lagi kita bakal menyambut bulan Ramadan Jumaat ini, tentu la teringin berbuka puasa dengan ahli keluarga.
Menteri Kanan (Keselamatan) iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini ada memberi bayangan yang boleh merentas negeri bermula 1 Mei ini.
Menurutnya, rakyat yang berada di kampung dan ingin pulang ke kediaman masing-masing perlu membuat permohonan dan pendaftaran kepada polis bermula 25 April ini.
Bagaimanapun, kebenaran untuk membenarkan mereka pulang masih di peringkat kajian dengan nasihat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mereka boleh mula melaporkan kepada polis melalui online, iaitu melalui aplikasi GerakMalaysia yang mana ini kolaborasi antara polis dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mulai 25 April nanti.
“Bagi mereka yang tiada kemudahan telefon pintar dan sebagainya, permohonan boleh dibuat di balai polis berhampiran namun perlu membuat temu janji terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakan di balai polis,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri berkata, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu setiap permohonan dan jika dibenarkan, pergerakan dijangka bermula 1 Mei ini.
Katanya, setiap keluarga wajib mendaftar dan membuat permohonan bagi membolehkan pihak berkuasa membuat perancangan.
“Mereka yang mendaftar perlu mengemukakan nama, berapa jumlah ahli keluarga dan lokasi tempat untuk ditujui, dari kampung mana, zon merah atau hijau dan sebagainya,” katanya.
So korang banyak-banyak la berdoa. Moga kes Covid-19 di negara kita berkurangan dan kita boleh balik kampung beraya….huhu
Sumber : Berita Harian
Mufti Wilayah Perjelas Hukum Tidur Satu Selimut Yang Biasa Budak Asrama Lakukan
Kehidupan di asrama penuh dengan kenangan. Baik ketika di sekolah mahupun universiti, ada pelbagai cerita terkumpul di sini sekaligus menjadi lipatan kenangan selepas masing-masing tamat sekolah.
Di asrama juga, ada pelbagai ragam dapat dilihat. Ada terlalu lembik sampai mudah kena buli, ada terlalu berdikari, ada budak dorm yang sombong, terlebih peramah dan pendek kata ada 1000 cerita mengenainya. Itu belum lagi yang buat perangai tidur sekatil sampai timbul isu-isu songsang dan sebagainya.
Tentu ramai nak tahukan, hukum tidur satu selimut yang biasa budak-budak asrama lakukan. Baca penjelasan dari Sohibus Samahah, Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang juga Mufti Wilayah Persekutuan mengenai hukum tidur dalam satu selimut.
Soalan :
Assalamualaikum, bolehkah pihak Tuan memberikan penjelasan berkenaan hukum tidur di dalam selimut yang sama seperti yang selalu berlaku di asrama.
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Dalam isu ini terdapat petunjuk nabawi yang disampaikan melalui sebuah hadis riwayat daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Tidak boleh untuk seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki yang lain, dan tidak boleh bagi seorang perempuan untuk melihat aurat perempuan yang lain. Serta tidak boleh untuk seorang lelaki berbaring dengan lelaki yang lain di dalam selimut yang sama demikian juga tidak boleh untuk seorang perempuan berbaring dengan perempuan yang lain di bawah selimut yang sama.
Riwayat Muslim (338)
Dalam mensyarahkan hadis ini, Imam Al-Nawawi Rahimahullah berkata: Pada hadis ini menunjukkan kepada haramnya seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki[1] dan haramnya seorang perempuan untuk melihat aurat perempuan yang lain. Demikian juga haram bagi seorang lelaki untuk melihat kepada aurat seorang perempuan dan haram bagi seorang perempuan untuk melihat aurat lelaki secara ijma’.
Kata al-Nawawi lagi: (Larangan berbaring di dalam pakaian atau selimut yang satu terhadap dua orang lelaki) adalah larangan yang menunjukkan kepada pengharaman sekiranya tidak ada lapik antara mereka berdua. Pada hadis ini menunjukkan keharaman menyentuh aurat orang lain pada setiap tempat dari badannya. Ini adalah perkara yang telah disepakati serta menjadi perkara yang diketahui umum. Orang ramai telah bermudah-mudahan dalam isu ini dengan berkumpulnya mereka di dalam bilik mandi yang sama. Maka wajib kepada mereka yang berada di situ untuk memelihara pandangan, tangan, dan anggota lainnya terhadap aurat orang lain. Juga wajib untuk dia memelihara aurat dirinya dari perhatian dan tangan orang lain. Lihat Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (4/25).
Imam Syams al-Haq Al-Azhim Abaadi pula dalam syarahannya ke atas hadis ini menukilkan kenyataan penulis kitab Al-Misbah terhadap perkataan ولا يفضي الرجل إلى الرجل yang berkata:
Seorang lelaki yang meletakkan dengan tangannya ke tanah, iaitu menyentuhnya dengan bahagian dalam tangannya. Meletakkan ke seorang perempuan, bererti dia menyentuhnya. Meletakkan kepada sesuatu pula bererti dia menyambungkan atau berhubung dengannya. Pada hadis ini larangan terhadap seorang lelaki untuk berbaring dengan lelaki yang lain di dalam selimut yang sama. Demikian juga tidak boleh bagi seorang perempuan dengan perempuan yang lain. Sama ada antara keduanya itu ada penghadang atau tidak, iaitu dalam keadaan keduanya tidak berpakaian.
Syeikh Al-Azhim Abaadi juga menukilkan kata-kata Al-Thibi yang menyebut: Tidak boleh untuk dua orang lelaki berbaring di bawah selimut yang sama dalam keadaan keduanya tidak berpakaian (telanjang). Demikian juga orang perempuan. Sesiapa yang melakukan perbuatan ini perlu ditakzir. Rujuk ‘Aun al-Ma’bud Syarah Sunan Abi Dawud, Shams Al-Haq Al-Azhim Abaadi (11/43).
Kesimpulan
Setelah kami meneliti beberapa hujahan yang dikemukakan oleh para fuqaha di atas, kami menyatakan bahawa kita hendaklah menekuni beberapa perkara yang berikut:
- Hadis tersebut menitikberatkan isu aurat antara sesama jenis. Dari sudut menyatakan pengharaman ke atas seorang lelaki dan perempuan untuk melihat dan menyentuh aurat kaum sejenis tanpa sebarang keperluan.
- Oleh yang demikian, larangan berbaring di bawah selimut yang satu bagi dua orang lelaki adalah bagi mengelakkan berlakunya sentuhan dan penglihatan terhadap aurat satu sama lain. Kerana itu dihuraikan oleh para ulama: dalam keadaan keduanya tidak berpakaian.
- Hadis ini tidak merujuk kepada pasangan suami isteri. Bahkan dalam mazhab Imam Al-Syafie, boleh bagi seorang suami melihat seluruh aurat isteri dan begitulah sebaliknya, melainkan ada pengecualian pada bahagian kemaluan.[2]
- Sekiranya kedua-dua orang lelaki itu berpakaian lengkap menutup aurat, tetapi cuaca dan suhu sekeliling dalam keadaan sejuk, lalu kedua mereka tidur di bawah selimut atau comforter, maka ia tidaklah termasuk dalam perbuatan yang dilarang dalam hadis ini mudah-mudahan.
- Namun, secara asasnya adalah kita memisahkan tempat tidur antara satu sama lain, bagi tujuan mengelakkan perkara-perkara yang boleh membawa kepada keharaman.
Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
[1] Dalam mazhab Imam Al-Syafi’e, aurat lelaki sesama lelaki adalah apa-apa yang berada antara pusat hingga lutut. Demikianlah juga aurat antara perempuan dengan perempuan yang lain.
[2] Isu hukum memandang kemaluan pasangan mempunyai perbahasan yang panjang dalam mazhab dan kami tidak memperincikannya di sini.