Setelah merantau ke kota New York untuk menyertai pelancaran butik premium jenama aksesori mewah, Tiffany & Co. pada bulan Mei lalu, pelakon popular Meerqeen kini berkongsi satu lagi perkhabaran manis bersama jenama tersebut.
Hujung minggu lalu, jejaka yang dicungkil bakatnya menerusi pencarian Hero Remaja 2020 itu telahpun secara rasmi dilantik sebagai wajah ‘Friend of the House’ jenama Tiffany & Co. sekaligus menjadi artis dari Malaysia pertama yang menerima peluang tersebut dalam sejarah jenama berkenaan.
Bercakap di butik yang terletak di Pavilion Kuala Lumpur, Meerqeen dalam nada tenang menzahirkan rasa syukurnya di atas peluang tersebut dan impiannya untuk bekerjasama dengan jenama yang diminatinya selama ini akhirnya tercapai juga.
ARTIKEL BERKAITAN: Tidak Kisah Raya Sekejap. Meerqeen ‘Terbang’ Ke NYC Pula Bagi Tiffany & Co – REMAJA
“Tentunya, Meerqeen gembira untuk menjadi sebahagian daripada ‘keluarga’ Tiffany & Co. Jujurnya, saya telah merahsiakan perkara ini lama sebenarnya. Tentunya, saya bangga, bertuah dan gembira untuk terima peluang ini.
“Memori merantau bersama-sama Tiffany & Co. ke kota New York bagi mewakili Malaysia di sana adalah memori terbaik yang saya perolehi setakat ini bersama jenama tersebut,” katanya yang turut diiringi oleh Pengarah Jualan Tiffany & Co. Malaysia, Cesarine Lim.
Tambah jejaka berusia 22 tahun ini, di sana dia berpeluang berjumpa dengan nama-nama besar terdiri daripada para pelakon Hollywood, pemain bola sepak terkenal serta pemain bola keranjang NBA.
“Bukan setakat berjumpa, Meerqeen dapat bercakap dengan mereka yang dihormati ramai dalam industri seni. It was definitely an honour,” simpulnya.
Terdahulu, REMAJA pernah melaporkan mengenai perlantikan Meerqeen selaku artis Malaysia pertama yang menandatangi kontrak istimewa bersama YSL Beauty.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.