Tidak keterlalun jika kami katakan bahawa Sarawak merupakan salah sebuah negeri yang banyak malahirkan bakat-bakat berkaliber di Malaysia.
Tak percaya? Antara nama selebriti popular dari Sarawak termasuklah Henry Golding, Dayang Nurfaizah, Zee Avi, James Wan (pengarah filem Conjuring & Saw), Hafiz Suip, Bob Yusof dan ramai lagi.
Satu nama yang ingin penulis letakkan ke dalam senarai tersebut adalah penyanyi dan pencinta lagu, Alena Murang.
Selain mempunyai bakat yang tidak boleh dinafikan, penyanyi berusia 28 tahun ini telah membanggakan Malaysia setelah dia menerima pencalonan dalam Festival Video Muzik Buenos Aires, pada tahun ini!
Bukan satu saja kategori yang mencalonkan nama Alena tetapi dua! Ia termasuklah kategori Video Antarabangsa Terbaik dan Penataan Gaya Terbaik untuk video muzik Alena berjudul ‘Midang-Midang’.
Video yang kini mencatatkan lebih daripada 37, 000 tontonan di YouTube ini telah diarahkan oleh Sarah Lois Dorai dan diterbitkan oleh Kanid Studio. Pencalonan ini membuktikan bahawa pemerhati antarabangsa juga menghargai bakat serta kreativiti Alena.
Menurut Alena, bagi video muzik Midang-Midang ini, dia ingin menjayakannya dengan kerjasama pereka fesyen dari Sarawak kerana dia merasakan mereka juga adalah golongan kreatif yang wajar diketengahkan.
“Walaupun idea asalnya adalah untuk mempromosikan Sarawak, rekaannya yang dipilih adalah kontemporari dan bersesuaian dengan mood dan sinematografi Midang-Midang.
“Kami ingin ketengahkan fesyen dalam video muzik ini kerana ia adalah satu ekspresi artistik. Malah, saya juga inginkan kain songket buatan Sarawak mendapat tempat dalam karya kami,” jelas Alena.
Di antara pereka fesyen yang terlibat termasuklah Von Jolly Couture, Maatin Shakir, Wan Bynun, Karl Jimmy, Tee Code, Lana Kuala Lumpur, Tanoti Crafts, Raben Beads dan Neng Kho Razali.
Menurut laporan BERNAMA yang mendapatkan komen balas daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Sarawak iaitu Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, beliau berkata musim Covid-19 yang melanda negara pada tahun ini tidak sesekali mematahkan semangat anak Sarawak itu.
“Klip-klip dalam video muzik Alena ini menunjukkan Kelabit Highlands. Kami berharap agar Alena Murang akan terus menjadi salah satu sebab utama masyarakat dunia berminat untuk mengetahui lebih lagi mengenai tarikan negeri Sarawak, sekaligus menjadi destinasi mesti-kunjung sebaik saja situasi pandemik ini telah bertambah baik,” kata beliau.
Tahniah Alena Murang!