“Adik-adik nak makan durian. Ayah tak jadi balik ke Dungun sebaliknya berpatah balik ke Perak. Hajat mereka tidak kesampaian bila kemalangan ini terjadi,” luah Ain Harisah.
Tragedi ngeri yang meragut nyawa adik beradiknya, Nur Ain Hanifah, 22 serta dua adik kembarnya, Muhammad Hanif dan Nur Ain Hanifah Ismail, 8 tahun nyata membuat dirinya sugul.
Masih lagi trauma akibat kemalangan itu, Ain Harizah kelihatan cukup lemah dan sugul selain hanya mampu termenung mengingatkan pemergian ahli keluarga sambil ditenangkan saudara-mara yang lain. Malah dirinya kerap ditenangkan oleh sanak saudara yang cukup bersimpati dengan tragedi ini.
Ain yang duduk di bahagian belakang pemandu sewaktu kejadian itu berkata, kenangan terakhir dia dan kedua adiknya adalah ketika mereka sekeluarga menaiki Keretapi Tanah Melayu ke Padang Besar baru-baru ini.
Dirinya yang mengalami kecederaan di pipi, dahi dan kaki akibat terseliuh berkata, ketika kejadian, dia dikejutkan oleh pengguna jalan raya yang lain sebelum ternampak orang ramai mengangkat jenazah adik dan kakaknya di penghadang jalan.
“Saya tak sedar apa-apa. Sebaik sahaja buka mata, saya nampak banyak darah. Adik dan kakak sedang diangkat dan diletakkan di tepi jalan. Saya nak bantu tetapi saya tak dapat berdiri.
“Sekarang saya dah hilang kawan nak bergaduh. Selepas ini saya dah tak boleh marah adik-adik lagi,” katanya sebak.
Nahas tiga beradik meninggal serentak dan cukup menyayat hati ini terjadi selepas kenderaan Honda CRV yang dipandu bapa mereka, Ismail Yaacob, 53, dirempuh dari arah belakang sebuah lori membawa muatan ikan di persimpangan lampu isyarat di simpang empat berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong.
Jenazah tiga beradik ini telah selamat dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuin Dua di sini semalam.
“Tunggu mama di syurga”. Hanya perkataan itu termampu diucapkan oleh Zarina Yong, 44 yang cukup redha selepas tiga anaknya meninggal dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan yang dirempuh sebuah lori membawa muatan ikan.
Dia yang masih mendapat rawatan lanjut di Hospital Taiping akibat cedera dalam nahas itu, reda, dengan pemergian anak-anak kesayangannya.
Menurutnya, ketika tidak sedarkan diri kesan dari nahas tersebut, dia dikunjungi bayangan tiga anaknya itu seolah mereka pergi meninggalkannya.
“Mereka datang, tersenyum dan melambai, sebelum pergi dari mimpi saya. Waktu itu, saya tahu mereka telah tiada. Saya redha, saya cukup redha. Saya tahu semua anak akan menjadi ahli syurga dan saya sempat berpesan kepada mereka untuk tunggu saya di syurga. Bila tiba masa saya nanti,” katanya.
Dia berkata, ahli keluarga yang lain tidak memberitahu tentang pemergian tiga anaknya itu kerana mahu menjaga hatinya.
“Tak perlu berselindung, naluri saya sudah cukup kuat memberitahu, saya redha dan saya akan jumpa mereka semua di syurga kelak,” katanya. Sumber Sinar Harian.
Anak sulung mangsa, Muhammad Hafiz Ismail, 27, berkata bapanya Ismail Yaacob, 53, menghembuskan terakhir kira-kira 1.40 pagi tadi di Hospital Taiping, di sini.
“Saya berada di sisi arwah ayah pada saat akhir dan sempat membimbingnya mengucap,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.