Tiada apa lebih menyedihkan tatkala kehilangan seorang rakan baik. Inilah perasaan yang dialami oleh Sala Norhazura Zakaria, 34 tahun yang minggu lalu kehilangan sahabat baik yang sudah dikenalinya sejak 13 tahun lalu.
Kisah kemalangan yang menimpa rakan baiknya, allahyarham Nor Shahida Abd Ghani, 32 di Gua Musang ketika menjalankan kerja-kerja dakwah menjadi viral di media sosial kerana beberapa beberapa hari sebelum kemalangan menimpanya, arwah ada menyebut ‘READY TO TERBANG KE LANGIT BIRU! Berada di thariq ini perlukan kekuatan yang kalau tak dicari takkan jumpa. Kalau tak diasak takkan gagah, kalau tak dilanyak takkan tegap, seolah-olah memberi petanda seakan arwah sudah mengetahui ajal akan menjemputnya.
Berbicara bersama rakan serumah dan sahabat baik, menurut Sala, kali terakhir dia bertemu arwah pada hari Rabu.
“Hari Khamis pagi kejadian itu kami tiada kesempatan bertemu dan arwah hanya memaklumkan melalui Whatsapp dia bertolak ke Kuala Lumpur pagi kejadian.
“Saya begitu terperanjat apabila mendapat makluman dari polis yang Shahida kemalangan dan maut di tempat kejaidan. Polis hubungi saya kerana nombor saya adalah individu terakhir arwah hubungi sebelum kemalangan di Gua Musang itu. Seperti tidak percaya namun hakikatnya kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah lori membawa kelapa sawit dan arwah alami kecederaan parah di badan sebelum meninggal di tempat kejadian” katanya memaklumkan yang arwah seorang baik hati, sentiasa tersenyum, mudah membantu orang lain dan cukup bercita-cita tinggi dalam perjuangan dakwah agama.
Ditanya maksud arwah ingin terbang di langit biru seperti ditulisnya, kata Sala itulah cita-cita sahabatnya yang sentiasa ingin dekat dengan kerja-kerja dakwah.
“Arwah selalu berpegang kepada prinsip membahagiakan orang lain itu adalah bahagia miliknya juga. Bila kami semua jalankan kerja-kerja dakwah seperti memberi nasihat, aktif dalam kegiatan seperti KONWANIS, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan lain-lain lagi, semua itu adalah kebahagiaan yang dirasainya. Pemergiannya memang tiada ganti namun usaha-usaha dakwah yang kami sama-sama lakukan ini akan diteruskan kerana selagi bernyawa, dakwah itu merupakan perjuangan setiap insan. Melalui dakwah, mawaddah bukan saja mampu diwujudkan tetapi kekal di hati selamanya,”katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, menurut Sala, dia mengenali arwah Shahida ketika sama-sama belajar di Politeknik. Sebaik habis belajar dan tak sambung ke ijazah, mereka tinggal serumah.
“Kami sama-sama bekerja sebagai tenaga pengajar di Tadika Cemerlang Nur Mawaddah di Pasir Puteh, Kelantan.
“Setiap kali bertemu sahabat-sahabat dan orang baru dikenalinya, setiap kali bersalaman dan ketika ingin pulang, arwah sering menyebut, DOAKAN SAYA MATI SYAHID.
“Inilah ayat yang sentiasa bermain di bibirnya sejak dulu lagi meminta agar orang ramai mendoakan agar perjalanan akhirnya dipermudahkan untuk dia mati syahid. Alhamdulillah, kematiannya dimuliakan dan arwah meninggal pada hari pagi Khamis,”katanya yang masih lagi bersedih dengan pemergian sahabat dunia akhiratnya ini.
Menjelaskan bahawa sahabatnya itu seorang anak yatim piatu, berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan, namun masih punya adik beradik seramai empat orang.
“Jenazahnya dituntut oleh abangnya. Ada yang duduk di Kuala Lumpur sementara arwah masih bujang,” katanya memaklumkan sahabat baiknya itu berusia 32 tahun. Dalam pada itu, jelas Sala, ramai yang menatapi pemergian arwah Shahida kerana selain petah berkata-kata dan aktif dalam kerja-kerja dakwah khususnya dalam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), bait kata-kata arwah seperti KEKUATAN, kalau tak dicari takkan jumpa, kalau tak diasak takkan gagah, kalau tak dilanyak, takkan tegap. Melangkah dengan padu, syahid menanti, AMEEN cukup dekat di hati mereka semua.
Al-Fatihah untuk arwah Nor Shahida Abd Gani, semoga rohnya dicucuri rahmat dan syurga tempat arwah.