Untuk kali kedua berturut-turut, permohonan ikat jamin bagi anak teruna Shah Rukh Khan, Aryan Khan yang kini ditahan di Penjara Arthur Road dekat Mumbai, India telah ditolak oleh Makhamah Khas Mumbai.
Penahanan akibat kes kesalahan penggunaan dadah itu sekaligus menyaksikan kemungkinan remaja berusia 23 tahun itu bakal menghabiskan sambutan perayaan Deepavali yang bakal menjelang 4 November ini di dalam tahanan.
Ini berikutan ‘cuti panjang’ yang akan diambil oleh pihak makhamah pada awal November ini bagi memberi peluang kepada para pegawainya untuk meraikan sambutan perayaan paling penting di India itu.
Untuk pengetahuan, Aryan telah ditahan bersama tujuh yang lain termasuk dua orang wanita oleh pihak Biro Kawalan Narkotik India (NCB) semasa mereka berada di sebuah kapal persiaran di Mumbai pada 3 Oktober lalu. Nama popular lain yang ada di tempat kejadian termasuklah pelakon, Arbaz Seth Merchant dan pereka fesyen, Munmun Dhamcecha.
ARTIKEL BERKAITAN : Anak Teruna Shah Rukh Khan Disiasat Kesalahan Penyalahgunaan Dadah – REMAJA
Pada malam kejadian, NCB telah merampas dadah jenis kokain (13 gram), charan – kanabis pekat (21 gram), 22 pil methamphetamine, mephedrone (5 gram) serta wang tunai lebih 1.3 juta lakh rupee.
Apa yang menjadikan siasatan kes ini berpanjangan bukan saja disebabkan penglibatan Aryan Khan sebagai anak sulung pelakon paling popular di India. Tetapi menurut Peguamcara Negara, Anil Singh; ia disiasat secara lebih teliti kerana melibatkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja dan belia.
Lebih mendukacitakan apabila Aryan berjaya dibuktikan merupakan seorang pengguna bahan terlarang sejak beberapa tahun lalu selepas siasatan dilakukan setakat ini. Malah, media di India juga melaporkan bahawa Aryan mungkin sekali terlibat dengan sindiket kartel dadah antarabangsa berdasarkan rekod perbualan di antara Aryan dan anggota kartel menerusi aplikasi WhatsApp.
Tidak hairanlah permohonan ikat jaminnya ditolak demi membantu siasatan.
Aryan dan ayahnya, Shah Rukh bagaimanapun tidak akan berputus asa. Peguam yang mewakili Aryan serta dua lagi tahanan iaitu Satish Maneshinde dan Amie Desai akan membawa permohonan ikat jamin ke Mahkamah Tinggi Mumbai selepas ini. Hujah yang akan digunakan dipercayai terarah kepada ketiadaan penemuan dadah pada Aryan sewaktu serbuan dilakukan di kapal persiaran tersebut.
*
Buat masa ini, keadaan di rumah agam Shah Rukh Khan dikhabarkan agak tegang apabila aktor itu meminta rakan selebritinya untuk tidak mengunjungi kediamannya buat seketika kerana ingin meluangkan masa bersama keluarga saja.
Malah, isteri Shah Rukh, Gauri Khan juga dikatakan melarang tukang masak keluarganya untuk menghidang sebarang juadah manis sehinggalah Aryan dibenarkan pulang ke rumah.