Nilai seni yang lahir penuh ikhlas dari hati sang pencipta untuk sajian mata dan telinga nyata tiada terbilang harganya.
Begitulah yang dapat digambarkan mengenai beberapa buah persembahan yang bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-37 pada 12 Februari 2023 yang lepas apabila penyanyi yang bertanding sanggup melaburkan wang Ringgit bagi menjelmakan konsep serta idea yang ingin disampaikan.
Bercakap kepada rakan pemberita setelah acara berakhir, Shiha Zikir dan Aina Abdul yang masing-masing membawa pulang trofi kategori Persembahan Terbaik (Shiha) dan Vokal Terbaik serta juara AJL ke-37 (Aina) mengakui kualiti persembahan yang dipamerkan semalam memerlukan mereka mengeluarkan bajet yang agak besar.
Shiha umpamanya menampilkan tema ‘glow in the dark’ dengan mainan warna neon pada persalinan rekaan Masyadi Mansoor serta elemen cahaya laser di tengah-tengah persembahan.
Khabarnya, persembahan Shiha bagi lagu Irama itu memakan belanja lebih RM100,000 (OMG) di mana elemen termahal adalah penggunaan lampu laser.
“Syarikat saya, Shiha Zikir Empire, Todak Music dan Alternate Record membahagikan kos ini.
“Walaupun pasti ada yang katakan pelaburan lebih RM100,000 tak setimpal dengan hadiah kemenangan bernilai RM12,000 tapi saya rasa puas kerana ini adalah minat saya,” katanya kepada XTRA.
Bila bercakap mengenai kos persembahan yang tinggi di pentas AJL, minda terus terbayangkan bagaimana penyanyi di akhir era 90-an / awal 2000-an sanggup membawa ‘penari sekampung’ ke atas pentas demi menggamatkan suasana.
Antara nama-nama besar yang selalu berbuat sedemikian ialah pelopor genre Irama Malaysia seperti Noraniza Idris dan Datuk Seri Siti Nurhaliza sendiri.
Bagaimanapun di era ini, lain pula elemen yang memakan kos tinggi dalam sesebuah persembahan. Contoh terbaik adalah persembahan Terus Hidup oleh juara AJL 37 sendiri, Aina Abdul.
Dedah Aina sewaktu ditemui semalam, persembahannya itu telah dibantu oleh TIGA PULUH (30) orang kru di mana sebahagian besar daripada mereka menyiapkan set berbentuk kepulan awan.
Konsep tersebut diinspirasikan oleh Aina sendiri yang perlu banyak ‘berjalan’ ke pelbagai destinasi menaiki kapal terbang sepanjang tahun lalu atas urusan kerja. Lalu, pengalaman perlu duduk di dalam pesawat itu mendekatkan dirinya dengan pemandangan awan di luar tingkap.
Konsep ini juga perlukan simbolik kepada dedikasi persembahan Terus Hidup ini kepada Allahyarham bapanya yang meninggal dunia sekitar tiga tahun lalu.
Demi merealisasikan konsep yang diidamkan itu, Aina sanggup berbelanja sehingga RM90,000 termasuklah busana serba putih lagi futuristik yang direka khas oleh Melinda Looi untuknya.
“Pada satu tahap dalam kerjaya, saya tahu kalau mahu hasil yang berbaloi, saya kena sanggup melabur.
“Untuk kali ini, memang saya berhabis banyak. Tak tahulah nak cakap, naluri hati merasakan lagu Terus Hidup ini begitu istimewa.
“Jadi saya berbelanja agak besar untuk persiapan AJL37,” jelasnya semasa sidang media semalam.
Haa, kalau korang sanggup tak bayar sebanyak ini demi persembahan kurang lima minit di atas pentas?
KREDIT FOTO: TV3 Malaysia
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.