Asalnya Bergelar Kerani, Kenali Siapakah Tok Wan Yang Menjadi ‘Muka Wajib’ Iklan Raya Setiap Tahun

Share

Jika menyebut nama Halimah Alias, tentu ramai yang bingung siapakah gerangan pemilik nama tersebut. Namun jika ditunjukkan foto dan membilang nama Tok Wan, REMAJA pasti ramai akan memberikan reaksi, “Ahh, dia ini..“.

Begitulah penangan lakonan Halimah, 71 yang mesra dengan panggilan Tok Wan setiap kali beliau terlibat dengan projek-projek lakonan iklan komersil di Malaysia.

Pelakon veteran aka ‘Ratu Iklan Malaysia’, Halimah Alias.

Wajahnya begitu sinonim dengan iklan raya di negara ini sejak tiga dekad lalu sehinggakan masyarakat sudah terbiasa dengan keletahnya dalam iklan raya melibatkan jenama-jenama besar.

Disebabkan itulah, Tok Wan tidak mempunyai masalah untuk meletakkan nilai standard dalam soal bayarannya; tidak seperti artis senior lain yang selalu dibelengu isu bayaran rendah disebabkan usia mereka.

“Kalau setakat RM300 hingga RM5000, memang saya tidak akan ambil tawaran itu. Bukan nak cakap besar. Lebih baik saya beri peluang pada artis veteran lain yang tidak mempunyai tawaran lakonan,”katanya.

Ratu Iklan Malaysia

Bercakap kepada akhbar Mingguan Malaysia pada hujung minggu lalu, Tok Wan berkongsi kisah bagaimana perjalanan hidupnya merubah dari tugasan sebagai seorang kerani di syarikat pembuatan makanan dan minuman, Nestle kepada seorang pelakon.

Menganggap dirinya bertuah kerana syarikat tidak melarangnya daripada menceburkan diri dalam bidang pengiklanan, Tok Wan juga sama terlibat dalam iklan milik majikannya satu ketika dahulu! 2-in-1 lah ini, hehe..

“Saya ini bermula dengan teater dan pernah buat sketsa antidadah di Nestle. (Pelakon veteran, Kismah Johar) lah orangnya yang bagi nombor telefon saya pada pihak agensi. Saya pernah juga cakap, tetapi dia pun sudah lupa tentang perkara itu,” kata ibu kepada lima orang anak itu.

Lantaran itu, sejak tahun 1985 lagi Tok Wan banyak terlibat dengan produksi iklan komersil. Pernah juga beliau berlakon dalam produksi drama mahupun filem. Sebagai contoh pada tahun ini, Tok Wan menyertai produksi drama baharu berjudul Nyawa Bertukar Cinta. 

Biarpun amat bersyukur dengan peluang membintangi drama dan filem, bagi Tok Wan  lakonan dalam produksi iklan komersil lebih dekat di hatinya memandangkan ia tidak memerlukan komitmen berat seperti tempoh lakonan yang terlalu lama.

“(Ketika berlakon untuk drama Nyawa Bertukar Cinta), saya terlibat hampir 15 episod dan kebanyakan babak di Kuantan. Kalau di Kuala Lumpur boleh juga saya terima tawaran lain,” tambahnya.

Selain drama tersebut, terdahulu Tok Wan juga pernah berkesempatan bekerjasama dengan Allahyarhamah Yasmin Ahmad menerusi filem Gubra.

FOTO: Tangkap Layar Iklan Raya McDonald’s 2022

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ