Al-fatihah.
Manusia hanya mampu merancang dan Allah menentukan. Jika sebelum ini, di instagramnya, Saphira Indah, pelakon filem Eiffel I’m In Love dan Eiffel I’m In Love 2 sering menulis kata-kata indah agar dirinya dan bayi dalam kandungan sentiasa selamat tetapi Allah menyayangi dirinya apabila dia dilaporkan meninggal dunia pagi tadi.
Memetik berita Astro Awani, allahyarham Saphira Indah meninggal dunia dalam keadaan dirinya hamil enam bulan pada Rabu di Jakarta, Indonesia.
Saphira, 32, dilaporkan media tempatan mengalami sesak nafas selama lima hari sebelum dibawa ke hospital.
Suami pelakon itu, Rico Hidros Daeng berkata, keadaan isterinya itu bertambah kritikal pada hari kelima sebelum menghembuskan nafas terakhir.“Sebenarnya dia hanya sesak nafas biasa. Tetapi pada hari kelima, keadannya bertambah teruk. Dia mengalami masalah pernafasan,” katanya ketika ditemui di Tanjung Priok, Jakarta Utara pada Khamis.
Saphira yang membawa watak Uni dalam filem yang menjalani penggambaran di kota Paris itu juga dikatakan amat mengambil berat kesihatan dirinya yang sedang hamil anak kedua.
Menurut Rico, Saphira juga tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ganjil atau sebagainya.
“Tiada keluhan sakit yang teruk kerana setiap bulan, dia tidak pernah mengabaikan pemeriksaan kesihatan, malah makan minumnya turut dijaga rapi.
“Ajal datang dalam pelbagai cara. Kadang-kadang orang yang sedang duduk pun boleh meninggal dunia. Jadi kita tidak mampu untuk jangka bila kita akan mati,” katanya.
Jenazah Saphira dikebumikan di Tanah Perkuburan Budi Darma, Tanjuk Priok, Jakarta Utara pada pukul 10 pagi (waktu Indonesia Barat) Khamis.
Selain siri filem Eiffel I’m In Love, aktres itu juga berpeluang membintangi beberapa buah filem lain antaranya Virgin 3: Satu Malam Mengubah Segalanya (2011), Poconggg Juga Pocong (2011), Rumah Kosong (2014) dan Villa 603 (2015).