Ujian Allah itu berbeza-beza untuk setiap makhluknya.
Jika kita merasakan ujian Allah itu cukup berat dilalui, ada lagi insan lain melalui dugaan yang sebegitu berat.
Pastinya, tiada apa yang lebih mengejutkan bila doktor mengesahkan kita mengidap kanser. Lebih menyedihkan, disebabkan sel kanser tulang itu sudah merebak dan doktor mencadangkan agar bahu dan tangannya dipotong demi menyelamatkan nyawanya.
Inilah perasaan dilalui oleh seorang remaja, Mohd Shafuan Nor Azahar, 19 tahun apabila disahkan mengidap kanser tulang.
Asalnya, dia hanya berasa belikatnya lenguh-lenguh dan sesekali rasa sakit. Namun dia yang bekerja di bahagian penyediaan makanan di Sungai Buloh beranggapan rasa lenguh dan sakit belakang itu hanya sebahagian dari kerjanya yang perlu menganggap barang-barang.
Biar sudah melakukan urutan bagi menghilangkan rasa lenguh namun rasa sakit itu tetap ada. Sentiasa berulang-ulang sekaligus memaksanya membuat pemeriksaan lanjut di hospital.
“Mulanya saya pergi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) tetapi selepas diberi ubat, rasa sakit di bahagian belikat itu tetap ada. Kemudian saya buat rujukan di Hospital Sungai Buloh pula. Ketika itulah MRI dilakukan dan mendapati seperti kanser. Kes saya kemudian dirujuk semula ke HKL dan disahkan sebagai kanser tulang,” katanya ketika ditemui di HKL.
Dalam pada itu, menurut bapanya Nor Azhar, bila dimaklumkan anaknya mengidap kanser tulang, dia seperti tidak percaya kerana anaknya cukup aktif dan sihat.
Jelasnya, ketika anaknya bersekolah di SMK Undang Jelebu, Negeri Sembilan, anak keduanya ini seorang yang sangat aktif malah pasukan kadet Koreksional disertainya menjadi Johan Kebudayaan sempena Perkhemahan Kadet Koreksional peringkat Kebangsaan pada tahun 2015.
“Anak juga pernah menyertai Perkhemahan Kadet Koreksional peringkat Negeri dan Kebangsaan pada 2012, 2013, 2014 dan 2015, sejak dari tingkatan 1 lagi selain bermain bola sepak dan mewakili Jelebu di peringkat negeri,” katanya secara jujur sebagai bapa, dia berusaha membawa anaknya itu berubat secara tradisional.
“Kami ada berusaha berubat kampung tetapi situasi keadaan Shafuan masih sama. Sakitnya dan bengkaknya berulang-ulang. Saya kemudian membawa anak kembali ke HKL dan semasa di hospital itu, anak perlu buat enam kali pusingan kimoterapi.
“Semasa kali pertama kimo dilakukan, bengkak di bahagian bahunya itu pecah dan mengeluarkan darah dengan banyak. Alhamdulillah anak sempat habiskan enam kali kimonya dan ketika itu saya nampak bengkaknya sudah surut.
Di sebalik ujian dilaluinya dengan kesakitan anak disahkan kanser tulang, akui Nor Azahar, dia sendiri sudah berhenti kerja dua tahun lalu apabila isterinya, Salmi Shafie, 48 tahun disahkan strok.
“Disebabkan anak-anak sekolah ketika itu, saya berhenti kerja menjaganya. Lepas dua tahun emaknya sakit, Shafuan pula jadi begini. Bila saya perlu menjaganya di hospital, saya minta anak sulung berusia 24 tahun yang dahulunya kerja di Johor untuk balik menjaga adik dan emaknya di Jelebu, Negeri Sembilan,” katanya lagi.
Mengakui tidak pernah putus harap termasuk beberapa kali berubat secara tradisional, jelas Nor Azhar bengkak anaknya semakin membesar sehingga doktor memberi cadangan memotong tangan dan bahu anaknya.
Biarpun semasa bekerja Shafuan membuat potongan KWSP dan Perkeso, namun permohonannya ke Perkeso ditolak kerana baru dua kali membuat caruman. Dek kerana tidak bekerja kerana perlu menjaga isteri dan anaknya, Nor Azhar akui dia tidak tahu hendak mencari wang bagaimana lagi.
“Bukan di HKL sahaja kami dapatkan rujukan tapi ada juga ke PPUM dan PPHUKM termasuk hospital di Jelebu. Anggaran bagi pembedahan ini sekitar RM70,000. Memandangkan saya tidak bekerja, sukar untuk saya mendapatkan wang sebanyak itu bagi biaya pembedahannya,” katanya masa yang sama memaklumkan, anaknya juga tidak mahu tangannya dipotong dan masih beranggapan masih ada jalan penyelesaian bagi kanser tulang dihadapinya.
“Buat masa ini setiap empat jam anak saya akan disuntik morfin bagi menghilangkan rasa sakitnya. Itulah saja mampu dilakukan kerana keadaannya kritikal,”katanya yang mengharapkan ada keajaiban terjadi bagi anak keduanya itu.
Bagi anda yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban adik Nor Shafuan, boleh hubungi ayahnya, Nor Azhar Hussin di talian 019-6100773.
Atau salurkan sumbangan ke Maybank di akaun 155069204567
Mari doakan agar Shafuan diberi kesembuhan dan kelegaan dari kesakitan dialaminya kini.