Kemalangan jalan raya sememangnya tidak berbau biar secekap mana pun pemandu atau penunggang motosikal. Begitulah yang terjadi kepada penyanyi dan penerbit rakaman, Zynakal yang terlibat dalam satu kemalangan kecil ketika sedang menunggang motosikal miliknya di sebuah persimpangan jalan terletak di Sentul, Kuala Lumpur.
Zyn atau nama sebenarnya, Muhammad Raziq Rosli sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengikuti trip menunggang motosikal bersama rakan-rakan lain termasuklah pelakon, Atiq Azman dan Nabil Aqil ke Genting Highlands.
Atiq ketika dihubungi REMAJA memberitahu bahawa kemalangan tersebut bersifat minor dan Zyn tercedera di lutut; bahagian badan sama yang tercedera sewaktu Zyn terlibat dalam satu lagi kemalangan jalan raya, tidak lama dahulu.
“Sebenarnya kami hanya ke Genting Highlandsuntuk melihat pemandangan matahari terbenam. Tiada perancangan di luar jangkaan pun. Setelah tiba di sana kira-kira jam 7 petang; sedikit terlambat daripada waktu yang kami rancang sebabkan kesesakan trafik, kami turun semula dari puncak pada jam 9 malam.
“Ketika dalam perjalanan pulang, kami sempat lagi berhenti di stesen minyak berdekatan tol Gombak bagi memastikan kelima-lima ahli (termasuk seorang rakan Atiq dan seorang rakan Nabil) ada. Saya kemudian mengekori motosikal Zyn untuk menghantarnya pulang ke rumah.
“Setiba di satu simpang jalan, ada sebuah kereta yang tidak dapat mengagak ingin belok ke kanan atau ke kiri. Waktu itu, Zyn berada betul-betul di belakang kereta itu. Kereta seakan ingin belok ke kanan tetapi pemandu kemudian belok semula ke kiri tanpa memberi signal. Akibat perbuatan itu, Zyn terpaksa brek kecemasan bagi mengelak kereta yang ada di laluan kiri.”
“Mujur Zyn tidak terlanggar mana-mana kereta dan dia hanya terjatuh ke jalan,” kongsi Atiq yang berpengalaman menunggang motosikal berkuasa tinggi.
ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Okay, Peha Teruk Sikit” Atiq Azman Syukur Selamat Kemalangan Motosikal – REMAJA
BACA LAGI: Raja Atiq ‘Buat Hal’ Lagi.. Kali Ini Bahu Pula Tercedera – REMAJA
Tambah Atiq, dia terus bergegas ke Zyn dan mendapati penyanyi itu mengalami kecederaan di bahagian parut lamanya namun tidak mengalami kecederaan serius lain. Zyn kemudian dibawa ke klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Bila berlaku kejadian sebegini, nasihat saya kepada penunggang remaja adalah untuk menjaga kebajikan rakan kita itu seperti keluarga sendiri. Hentikan kereta atau motosikal di bahu jalan agar tidak menganggu laluan orang lain dan hubungi nombor kecemasan bagi mendapatkan bantuan.
“Jangan sesekali cuba menimbulkan pergaduhan. Jangan ajak geng untuk pukul seseorang kerana negara kita ada undang-undang.”
“Tidak kiralah kita berada di pihak benar ataupun salah; jika boleh selesaikan kes secara baik, itu lebih bagus.”
“Saya pun pernah terlibat dalam kemalangan ketika menunggang motosikal dan saya belajar daripada cara rakan-rakan saya menguruskan situasi pada waktu itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain. Atiq baharu sahaja menamatkan penggambaran bagi sebuah projek drama terbaru.
FOTO: Instagram Atiq Azman
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.