Pada awalnya, atlet berusia 15 tahun iaitu Muhammad Aliff Mohd Azizi tak meletakkan apa-apa expectation pun semasa menyertai Kejohanan Muay Thai Dunia ke 16.
Berlangsung di Bangkok Thailand, penyertaan sulungnya itu sekadar untuk menimba pengalaman bersaing dalam kejohanan bertaraf dunia. Bukan mudah untuk melepasi senarai peserta dari 60 negara dan layak ke kejohanan tersebut.
And for that we are proud of him!
Bercakap kepada rakan media di BERNAMA, Muhammad Aliff menganggap kejayaan merangkul 2 pingat emas itu adalah kerana semangat dan dorongan daripada keluarga, jurulatih dan pihak-pihak yang terlibat.
“Sokongan ayah, Mohd Azizi Bakar, jurulatih Azrol Mohammad dan rakan sepasukan membuatkan saya sentiasa fokus dan terus positif sehingga berjaya,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Ayer Tawar, Butterworth itu.
Untuk pengetahuan, abangnya Muhammad Adam Mohd Azizi, 17, juga berjaya memperolehi satu pingat perak dalam kategori remaja 54-57 kilogram.
Pada kejohanan yang berlangsung dari 12 hingga 20 Mac itu, Muhammad Aliff bersaing dalam kategori kadet 45-48 kilogram. Walaupun mempunyai purata berat badan sama, saiz tubuhnya nyata jauh lebih kecil berbanding atlet negara lain yang besar dan tinggi.
Semoga dengan kejayaan ini, pusat latihan Muay Thai dapat ditambah baik dengan fasiliti lengkap untuk meningkatkan semangat atlet Muay Thai mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.