Ibarat tidak serik dengan insiden lampau yang pernah berlaku dalam negara, masih ada pemandu mabuk yang tidak mempedulikan nyawa pengguna jalan raya.
ARTIKEL BERKAITAN : Peguam Ajar Kita Sebenarnya Boleh Saman Pemandu Mabuk – REMAJA
Terbaru, atlet remaja kebangsaan untuk sukan kayak, Siti Nurul Masyitah Elias dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di mana mangsa dilanggar dan diseret sejauh 600 meter oleh seorang pemandu mabuk.
Perkhabaran dukacita ini dikongsikan melalui satu kiriman akaun Instagram Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ibrahim Sultan, Johor pada 14 Mei 2024. Kejadian pula dilaporkan berlangsung pada hari Sabtu di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) menghala ke Southkey, Johor Bahru.
Rakaman Dashcam
Menurut saksi dan rakaman kamera papan pemuka atau dashcam, kereta pelaku dipandu dalam keadaan melulu sebelum melanggar Siti Nurul Masyitah yang menunggang motosikal. Mangsa kemudiannya diseret sejauh 600 meter.
Kongsi kenyataan Instagram persatuan tersebut, mangsa kini dirawat di Hospital Calombia kerana mengalami kecederaan yang sangat serius.
Berdasarkan hantaran tular di media sosial selepas insiden, beberapa keping foto ketika kejadian sudahpun tersebar termasuklah foto seorang lelaki yang didakwa sebagai suspek sedang membuat isyarat ‘peace’.
Menurut kenyataan itu lagi, mangsa yang merupakan pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal sering berulang-alik dari Politeknik Ibrahim Sultan ke rumah bagi menjaga ibu bapanya yang sakit.
“Ibu mangsa mempunyai masalah tulang belakang akibat kemalangan manakala bapa mangsa tidak sihat dan perlukan rawatan dialisis.
“Mohon doakan agar mangsa dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesembuhan,” ujar persatuan berkenaan.
SUMBER: 1
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.