Atlet E-Sports Malaysia Raih RM16.8 Juta Selepas Menang Kejohanan The Internasional 8 Dota 2

Share

Jika bermain games dilihat satu ketagihan yang menjurus kepada masalah mental sebagaimana banyak kajian dilakukan, nampaknya persepsi itu perlu diubah.

Memang ramai ibu bapa yang “sakit hati” bila anak-anak asyik bermain games di internet, tak kurang juga pasangan kekasih yang putus kasih kerana pakwe masing-masing melebihkan telefon dari mengambil berat tentang diri mereka kini nampaknya sokongan amat diperlukan kerana bermain games bukan lagi membuang masa sebaliknya boleh buat duit dengannya.

Buktinya seorang atlet e-sports negara mencipta sejarah dengan meraih kedudukan podium pada kejohanan berprestij The International 8 Dota 2.

Jika sekarang kita memberi lebih tumpuan kepada kontinjen Malaysia yang berjuang di Sukan Asia Palembang, nampaknya sokongan juga harus diberikan kepada atlet-atlet e-sports negara yang berjuang di alam maya.

 

Pemain profesional Dota 2, Yap ‘xNova’ Jian Wei,  dan pasukannya, PSG.LGD, menduduki tempat kedua pada kejohanan itu yang membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai AS$4.1 juta (RM16.8 juta).

Carian di wikipedia mendapati Jian Wei baru berusia 20 tahun dan sudah aktif dalam sukan e sports ini sejak 2015 lagi.

Awal tahun ini, Paris Saint-Germain menjadi kelab utama bola sepak Eropah menandatangani perjanjian dengan organisasi permainan video LGD Dota 2 dan pasukan itu bermain dengan menggunakan nama PSG.LGD.

Diiktiraf sebagai kejohanan paling lumayan dalam sejarah e-sports, kejohanan yang dianjurkan setiap tahun itu menghimpunkan pasukan terbaik permainan Dota 2 di seluruh dunia.

Hadiah keseluruhan tahun ini bagi kejohanan Dota 2 adalah lebih AS25.4 juta (RM103 juta) hampir AS$1 juta lebih berbanding tahun lalu.

Pasukan Jian Wei yang berpangkalan di China, tumpas pada final kepada wakil Eropah, OG tatkala mereka meraih hadiah wang tunai AS$11.2 (RM45.8 juta).

Tahun lalu, Tue ‘Ah Fu’ Soon Chuan dan pasukannya, LGD.Forever Young, menduduki tempat ketiga pada kejohanan itu sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai AS$2.6 juta (RM11.2 juta).

E-sports dipertandingkan buat kali pertama pada temasya Sukan Asia tahun ini sebagai acara demonstrasi dengan pingat yang diraih tidak dikira dalam pungutan keseluruhan.

Ia satu percubaan sebelum e-sports dibawa masuk sebagai acara pertunjukan pada Sukan Olimpik Paris 2024 dan tahun lalu, Majlis Olimpik Asia mengumumkan acara itu akan diadakan secara rasmi di Sukan Asia 2022.

Sebagai perbandingan, acara badminton Siri Super Akhir menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM2 juta, manakala perlumbaan Le Tour de France pula tahun ini menyediakan RM10.1 juta. – BH ONLINE

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros